Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kebakaran Kampung Gok Kapur: Lebih 100 Mangsa Ditempatkan Di PPS - JKM

09/06/2026 02:53 PM

KOTA BHARU, 9 Jun (Bernama) -- Sebanyak 110 mangsa daripada 29 keluarga yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran besar di Kampung Gok Kapur, di sini, ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Mukim Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan, sejak semalam.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Che Samsuzuki Che Noh berkata PPS berkenaan dibuka pada 6.30 petang bagi menempatkan mangsa yang terjejas, manakala proses pendaftaran selesai sepenuhnya pada 11 malam.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan mangsa yang direkodkan, tiga adalah orang kurang upaya (OKU), dengan mangsa terjejas membabitkan 29 Ketua Isi Rumah (KIR).

Ad Banner
Ad Banner

“Kita difahamkan kebakaran yang berlaku semalam mengakibatkan 29 rumah musnah sepenuhnya, sekali gus menjadikannya antara insiden kebakaran terbesar pernah berlaku di Kelantan.

“JKM Kelantan merakamkan takziah kepada semua mangsa terlibat dan berharap mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian hari ini.

Che Samsuzuki berkata JKM Kelantan turut mengambil tindakan segera dengan menyalurkan kit bantuan kecemasan kepada semua mangsa yang ditempatkan di PPS bagi memenuhi keperluan asas mereka.

Selain itu, katanya bantuan menerusi Tabung Kebajikan JKM akan disalurkan kepada semua mangsa bagi membantu meringankan beban selepas kehilangan kediaman dan harta benda dalam kebakaran berkenaan.

Beliau berkata petugas JKM turut ditempatkan di PPS bagi menyediakan khidmat kaunseling kepada mangsa yang mengalami trauma dan tekanan akibat kejadian itu.

“Kita akan memastikan segala keperluan mangsa termasuk makan minum serta kebajikan kanak-kanak terus diberi perhatian. Setakat ini, semua keperluan berada pada tahap mencukupi,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi kerajaan, pasukan keselamatan, sukarelawan dan orang ramai yang tampil menghulurkan bantuan sepanjang operasi pemindahan serta pengurusan mangsa di PPS.

Semalam, 27 rumah dilaporkan musnah dalam kebakaran di Kampung Gok Kapur, manakala punca kejadian masih dalam siasatan pasukan forensik bomba.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan