Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KESUMA Manfaatkan Dana RM50 Juta Perkukuh Pelaksanaan TVET 2.0

06/06/2026 08:17 PM

PUTRAJAYA, 6 Jun (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan sehingga RM50 juta menerusi Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi memperkukuh pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0.

Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan berkata peruntukan itu akan digunakan untuk melaksanakan program berimpak tinggi dalam usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain mengarusperdanakan TVET sebagai laluan utama pembangunan bakat dan kerjaya negara.

Beliau berkata inisiatif berkenaan turut membantu memperkukuh ekosistem pembangunan kemahiran negara bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan.

Ad Banner
Ad Banner

"Peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam melahirkan bakat masa depan yang berdaya tahan, berkemahiran tinggi serta sejajar dengan keperluan industri.

"Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menekankan pembangunan modal insan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menyempurnakan Sambutan Hari TVET Negara hari ini, mengumumkan kerajaan membenarkan penggunaan dana sehingga RM50 juta daripada Program Berimpak Tinggi di bawah PTPK bagi memperkasakan agenda TVET negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penggunaan dana itu tertakluk kepada syarat bahawa majikan dan pihak industri perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi menjayakan pelaksanaan TVET 2.0.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata pengumuman Perdana Menteri itu diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia, pekerja dan usahawan PMKS untuk meningkatkan kemahiran serta menyertai sektor ekonomi bernilai tinggi.

"Pada masa sama, inisiatif ini akan membantu negara memenuhi permintaan terhadap tenaga kerja mahir yang semakin meningkat, sekali gus memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan hab bakat serantau," katanya.

Beliau berkata dana berkenaan akan disalurkan bagi pelaksanaan program berimpak tinggi di bawah penyelarasan Majlis TVET Negara (MTVET) dan PTPK, dengan tumpuan kepada sektor strategik termasuk elektrik dan elektronik (E&E), ekonomi hijau, ekonomi biru serta ekonomi jingga yang dikenal pasti sebagai bidang pertumbuhan baharu berpotensi tinggi.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman peruntukan berkenaan yang disifatkan mampu memperkukuh pelaksanaan TVET 2.0 serta agenda pembangunan modal insan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan