Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bukan Hanya Tenaga Mahir, Guru Pedalaman Sabah Latih Pelajar Tabur Bakti Kepada Komuniti

06/06/2026 02:44 PM

KENINGAU, 6 Jun (Bernama) -- Persepsi masyarakat yang sering melihat pendidikan vokasional sekadar melatih kemahiran teknikal kepada pelajar ternyata meleset di daerah pedalaman di negeri ini.

Perubahan itu digerakkan guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional (KV) Keningau Dr Sirhajwan Idek yang menukar institusi itu menjadi “bengkel kemanusiaan” yang aktif menabur bakti kepada komuniti setempat melalui nilai kemanusiaan, penglibatan sivik dan empati.

Menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti, beliau membimbing pelajar untuk tidak sekadar menjadi tenaga kerja mahir yang kaku tetapi menjadi ejen perubahan yang turun padang menyumbang kembali kepada masyarakat setempat.

Ad Banner
Ad Banner

“Usaha meletakkan kebajikan rakyat dan keringat pelajar inilah yang menjadi saksi permulaan misi saya yang terus subur di Keningau dalam membentuk pelajar bukan hanya sebagai tenaga mahir tetapi sebagai insan.

“Saya merangka sebuah formula pembelajaran holistik menerusi empat pendekatan utama iaitu khidmat langsung, khidmat tidak langsung, advokasi dan penyelidikan berasaskan komuniti,” katanya kepada Bernama.

Sirhajwan berkata keunikan utama formula pembelajaran ini terletak pada sifat yang sangat fleksibel dan direka tidak terikat dengan mana-mana subjek pembelajaran sekali gus membolehkannya diadaptasi dengan mudah ke dalam apa juga kursus vokasional.

Bagaimanapun, beliau berkata melatih pelajar aliran vokasional yang sudah terbiasa dengan kerja teknikal untuk menguasai kemahiran analitikal dan people skills bukan tugas mudah, terutamanya untuk menulis kertas kerja yang meyakinkan serta membentangkan idea impak sosial bagi meraih dana.

Mendedahkan kaedah bimbingan, beliau mengajar pelajar cara mengenal pasti isu atau masalah sebenar dihadapi masyarakat setempat sebelum menterjemahkannya kepada pelan tindakan yang mampu dilaksanakan.

“Saya bimbing mereka mencari projek sebagai penyelesaian yang mampu dilakukan mengikut kapasiti mereka termasuk kemahiran vokasional serta melatih untuk fokus kepada pengurusan bajet berdasarkan jumlah geran ingin dimohon,” katanya.

Selain itu, Sirhajwan turut melatih pelajar berfikir tentang aspek kemampanan projek agar sedia diwarisi oleh kohort atau generasi pelajar seterusnya dengan konsep sama yang disesuaikan mengikut kumpulan sasaran baharu.

“Bagi mengatasi kesukaran mereka dalam aspek advokasi dan penyelidikan, saya membantu dalam pembangunan instrumen yang digunakan untuk mengumpul data dan memantau proses itu selain menggunakan contoh projek terdahulu sebagai panduan kepada pelajar,” katanya.

Sirhajwan berkata menerusi geran komuniti bernilai RM2,000 hingga RM10,000 daripada agensi seperti My Starfish Foundation, Arus Academy dan Digital Promise, teori di bilik kuliah kini bertukar menjadi aksi nyata di lapangan.

“Khidmat secara langsung adalah yang terbaik kerana membolehkan pelajar berinteraksi secara terus dengan golongan dibantu. Pelajar kosmetologi dengan projek Beyond Beauty contohnya, berasa tersentuh dan bersimpati apabila membantu warga tua hingga teringat ahli keluarga sendiri,” katanya.

Impak emosi sama dirasai golongan suri rumah dan ibu tunggal menerusi projek pembuatan kek apabila sokongan moral diterima amat bermakna dalam membina jaringan sosial serta menjalin persahabatan untuk terus saling membantu.

Bagi projek fizikal, pasukan teknologi kimpalan meraih geran RM15,000 daripada Impact Malaysia pada tahun lepas untuk membaik pulih sebuah sekolah rendah.

Sinergi teknikal diteruskan oleh pelajar teknologi pembinaan yang membaiki rumah usang manakala program teknologi elektrik menerusi projek Volt Prihatin membaiki perkakas elektrik komuniti dengan pemantauan guru vokasional demi mematuhi SOP keselamatan.

Sementara bagi aspek advokasi, pelajar perniagaan dan kulinari menganjurkan kempen literasi kewangan serta membuka kaunter pendaftaran ASNB manakala bagi penyelidikan, pelajar pertanian menguji produk cecair pembersih organik hasil ciptaan petani tempatan di sekolah.

Sirhajwan mengakui keazaman merangka formula kebajikan itu refleksi daripada keperibadian ibunya Bintek Abdul Rahman yang sangat aktif melakukan kebajikan dan proaktif membantu mereka dilanda tragedi di daerah asal mereka Kota Belud.

Beliau kini giat membimbing tenaga pengajar daripada program lain untuk turut serta mengadaptasi empat fokus untuk menzahirkan kaedah khidmat komuniti itu selain membuat pertandingan cabaran impak sosial bagi menyemarakkan penglibatan pelajar dan guru.

Pendekatan melatih pelajar aliran teknikal untuk menggerakkan projek impak sosial itu mendapat pengiktirafan pelbagai pihak termasuk pada 29 Mei apabila dinobatkan sebagai pemenang Educational System Management Leadership (ESML) Leadership Award 2026 di Bangkok, Thailand.

Namun bagi Sirhajwan, trofi antarabangsa itu hanya sebuah pengesahan kerana perjuangan sebenar beliau ialah membimbing anak pedalaman agar melangkah keluar dari makmal untuk memanusiakan kemahiran mereka demi membantu golongan memerlukan.

Pengarah KV Keningau Lumang Anak Lang pula menzahirkan rasa bangga dan menyifatkan pencapaian Sirhajwan mencetus motivasi tinggi pelajar serta guru untuk terus menyumbang kepada masyarakat sekeliling, sekali gus memartabatkan lagi darjat pendidikan kolej vokasional di mata dunia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan