SEREMBAN, 5 Jun (Bernama) -- Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) Raja Norazli Raja Nordin akan memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap pihak yang terlibat dalam pelantikan Yang Dipertuan Besar, seperti yang dilaporkan hari ini.
Beliau berkata langkah itu diambil selepas berlakunya pelanggaran perintah injunksi ad interim yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Raja Norazli berkata Hakim Roz Mawar Rozain telah memberikan perintah itu dalam saman pemula untuk memelihara status quo DKU serta kedudukan beliau selaku Setiausaha DKU sementara menunggu pendengaran isu-isu bidang kuasa dan kebolehadilan, dan sehingga perintah selanjutnya dikeluarkan oleh mahkamah.
"Sejak perintah injunksi ad interim tersebut diberikan, saya mendapati melalui laporan media bahawa plaintif terutamanya plaintif kedua (Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad) terlibat dan (atau) mengambil bahagian dalam kononnya pelantikan seorang Yang Dipertuan Besar, yang didakwa dibuat di bawah Fasal 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
"Perkara ini dilaporkan berlaku selepas Mahkamah Tinggi memberikan perintah-perintah injunksi ad interim pagi tadi," menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Raja Norazli berpendirian bahawa plaintif-plaintif berkenaan, khususnya plaintif kedua, telah bertindak secara terburu-buru dalam percubaan untuk mengingkari perintah mahkamah.
“Sehubungan itu, peguam cara saya telah menulis kepada peguam cara plaintif-plaintif, di mana saya telah merizabkan hak saya untuk memulakan prosiding-prosiding penghinaan mahkamah terhadap plaintif-plaintif bagi memelihara integriti perintah mahkamah,” katanya.
Beliau berkata tindakan itu adalah tambahan kepada prosiding penghinaan mahkamah yang difailkan terhadap pihak plaintif berhubung tindakan mereka sejak tarikh perbicaraan pertama membabitkan isu berkenaan di Mahkamah Tinggi pada 13 Mei lepas hingga hari ini.
Raja Norazli berkata prosiding itu ditetapkan untuk perbicaraan pada 7 Julai depan.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan injunksi ad interim terhadap enam plaintif dalam pertikaian melibatkan DKU Negeri Sembilan, yang antara lain menghalang mereka daripada memanggil atau mengadakan sebarang mesyuarat termasuk Sidang Khas yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Selain Maarof, lima lagi plaintif ialah bekas Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Thahak, Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau Datuk Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungai Ujong Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial