Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sekolah Sukan Malaysia Perlis Dijangka Siap Januari 2027 - Menteri Besar

05/06/2026 05:41 PM

KANGAR, 5 Jun (Bernama) -- Projek pembinaan Sekolah Sukan Malaysia Perlis di Bukit Chabang, Padang Besar, yang terbengkalai sekian lama dijangka siap pada Januari 2027, kata Menteri Besar Abu Bakar Hamzah.

Beliau berkata kemajuan projek berkenaan kini mencapai kira-kira 60 peratus dan dijangka dapat disiapkan mengikut jadual, dengan kerajaan Persekutuan turut menunjukkan komitmen dalam memastikan pelaksanaannya dapat diselesaikan segera.

"Saya jumpa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada Mac lepas dan beliau begitu komited untuk membantu Perlis serta menyelesaikan isu sekolah sukan ini. 

Ad Banner
Ad Banner

"Saya minta tolong dan keesokan harinya beliau sendiri menghubungi saya serta memaklumkan arahan telah diberikan supaya pembinaan dan pelaksanaan sekolah sukan itu disegerakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Abu Bakar berkata sekolah sukan yang dinamakan bersempena nama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail itu dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan negeri bagi melahirkan lebih ramai atlet berpotensi pada masa hadapan.

Pada 27 April tahun lepas menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri antara lain menyatakan projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang terbengkalai sejak 12 tahun lepas perlu segera diserahkan kepada syarikat kerajaan yang berkeupayaan.

Persidangan DUN Perlis ditangguhkan hingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan