DUNIA > BERITA

Operasi SAR Di Gua Dilanda Banjir Di Laos Ditamatkan, Dua Pelombong Masih Hilang

06/06/2026 06:19 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 6 Jun (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang amat mencabar dan berbahaya bagi menyelamatkan dua pelombong warga Laos yang terperangkap di dalam gua dilanda banjir di Kampung Phonxay, Wilayah Xaysomboun selama hampir dua minggu ditamatkan pada Sabtu.

Penyelam gua teknikal yang berpangkalan di Sabah, Lee Kian Lie yang merupakan sebahagian daripada pasukan penyelamat antarabangsa berkata kerajaan Laos memutuskan untuk menamatkan operasi itu pada Sabtu memandangkan penyelam berdepan risiko besar dalam usaha menyelamatkan dua pelombong yang masih hilang.

“Risikonya terlalu tinggi untuk meneruskan operasi ini kerana berlaku tanah runtuh akibat hakisan tanah dan batu-batu besar jatuh ke dalam gua. Keadaan di dalam gua juga mempunyai kadar oksigen rendah, manakala laluan terowong yang sempit boleh menyebabkan anggota penyelamat terperangkap,” kata Lee kepada Bernama dari lokasi kejadian petang ini.

Dua pelombong yang masih hilang itu merupakan sebahagian daripada kumpulan tujuh individu yang memasuki gua berkenaan untuk mencari emas dan terperangkap sejak 20 Mei selepas hujan lebat menyebabkan gua itu dinaiki air, sekali gus menghalang laluan keluar mereka.

Sabtu lalu, empat pelombong berjaya keluar sendiri dari gua itu, manakala seorang lagi diselamatkan sehari lebih awal.

Pakar selam gua tempatan dan antarabangsa bekerja tanpa henti untuk mengepam keluar air dari gua dalam operasi SAR berbahaya bagi mengesan penduduk kampung yang hilang itu.

Keadaan muka bumi yang mencabar di dalam gua, termasuk laluan berlumpur yang semit serta jarak penglihatan sifar, menjejaskan operasi pencarian, manakala hujan berterusan semasa musim monsun memburukkan lagi keadaan.

Menurut pasukan penyelamat, para pelombong dipercayai turun kira-kira 300 meter ke bawah tanah untuk mencari emas di dalam gua itu.

“Kami berjaya mengepam keluar air dari ruang empat dan lima, namun tanah runtuh kini telah menutup satu-satunya pintu masuk ke gua berkenaan.

“Kami akan terus mengawal aliran air dengan mengepam dan menggali laluan yang berpotensi bagi membolehkan air mengalir keluar dengan lebih cepat.”

“Untuk meneruskan operasi adalah berisiko tinggi kerana pintu masuk gua kini kelihatan tidak stabil. Tekanan terlalu besar dikenakan terhadap batu kapur akibat operasi menyelamat ini,” kata Lee.

Sebelum ini, terdapat sinar harapan bahawa dua pelombong yang dipercayai terperangkap di ruang enam masih hidup, menurut laporan media.

“Kerajaan Laos memutuskan untuk menamatkan operasi kerana tidak mahu mempertaruhkan nyawa anggota penyelamat demi menyelamatkan pelombong terbabit.

“Keadaan ini amat menyedihkan dan ahli keluarga telah menunggu di lokasi selama beberapa hari sambil menangis. Kami sedang membawa keluar semua peralatan dari lokasi dan merancang untuk beredar. Mungkin satu keajaiban akan berlaku,” kata Lee.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan