Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Baucar Buku RM100 Diteruskan Untuk Pelajar Sekolah Menengah, IPTA - Anwar

29/05/2026 02:19 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pemberian baucar buku RM100 bagi pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan penuntut Insitut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Beliau berkata inisiatif itu diteruskan bagi tahun ini dan boleh digunakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung selama 10 hari bermula hari ini hingga 7 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

"Bantuan RM100 yang diberikan sejak beberapa tahun lepas, kini disalurkan secara terus. Jadi, apabila anda membeli buku, anda akan menikmati diskaun tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan PBAKL 2026 di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Perdana Menteri turut mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak menggunakan baucar berkenaan sepenuhnya bagi mendapatkan bahan bacaan yang bermanfaat dan tidak sekadar menyimpannya.

Selain itu, beliau berkata PBAKL wajar diadakan untuk mendedahkan serta memupuk budaya membaca dalam kalangan generasi muda terutama dalam dunia moden.

Selain itu, Anwar berkata trend masyarakat masa kini yang hanya bergantung kepada media sosial untuk mencari jawapan bagi permasalahan kompleks menyebabkan minat membaca semakin terhakis.

Perdana Menteri turut menggesa warga pendidik supaya memberi penekanan terhadap amalan mendalami ilmu dalam pelbagai bidang termasuk agama, sains dan kecerdasan buatan (AI) selain meningkatkan penguasaan literasi digital.

Beliau berkata walaupun kerajaan melaksanakan langkah penjimatan dalam beberapa sektor bagi memastikan kestabilan kewangan negara, aspek pendidikan dan budaya ilmu tidak akan diketepikan.

Anwar berkata setiap kementerian dan agensi telah diminta mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu bagi memastikan kedudukan ekonomi negara kekal kukuh.

“Semua kementerian penting, semua fokus penting, tetapi dalam keadaan sekarang semua harus waras dan bijak. Kita kena tahu masalah, perbaiki kelemahan, kurangkan kos yang perlu dan pada masa sama menetapkan keutamaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan