KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang disambut pada setiap 29 Mei ialah manifestasi penghargaan kerajaan terhadap dedikasi pengamal media sebagai jambatan maklumat utama antara kerajaan dan rakyat.
Bukan sekadar kalendar tahunan industri, platform itu menjadi wadah untuk mengiktiraf “wira tidak didendang” dalam memikul amanah menyampaikan fakta sahih sekali gus bertindak sebagai ejen penyampai dasar dan denyut nadi suara masyarakat yang berwibawa.
Kemuncak sambutan HAWANA 2026 bakal menyaksikan Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth di Pulau Pinang menjadi tumpuan pada 20 Jun ini dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merasmikan majlis itu.
Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, perhimpunan terbesar komuniti media negara ini menjadi medan penting bagi memperkukuh profesionalisme wartawan dalam mendepani landskap komunikasi yang kian mencabar.
Acara itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara sekali gus bertindak sebagai platform strategik untuk mencetuskan idea segar serta menentukan hala tuju kewartawanan semasa.
Kelainan penganjuran HAWANA pada tahun ini ialah jemputan khas kepada Menteri Penerangan dan Kkomunikasi dari negara anggota ASEAN bagi menghadiri sambutan HAWANA 2026.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini berkata sambutan kemuncak itu memperkukuh kedudukan HAWANA sebagai platform utama untuk mempererat kerjasama strategik industri media di peringkat nasional dan ASEAN.
Meskipun kemuncak sambutan dijadualkan pada 20 Jun, rangkaian pengisian HAWANA 2026 sebenarnya telah bermula pada 7 Mei lepas menerusi Forum Media HAWANA disusuli Pesta Pantun HAWANA-DBP pada 9 Mei.
Kemeriahan sambutan diteruskan dengan Majlis Bersama Rakan Strategik pada 4 Jun ini disusuli Fun Walk HAWANA di Taman Tasik Titiwangsa pada 14 Jun.
Turut disusun program Mai Riuh@HAWANA dari 19 hingga 21 Jun di Pulau Pinang yang menampilkan elemen keterangkuman komuniti melalui penganjuran Jualan Rahmah dan penyertaan vendor tempatan selain Majlis Makan Malam Media bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib pada 19 Jun.
Tarikh sambutan HAWANA dipilih bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan pengamal media kepada pembangunan negara.
HAWANA yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana adalah platform kemuncak dalam menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di Malaysia.
Sementara itu, ahli akademik menyifatkan peranan wartawan kini lebih kritikal dalam mendepani ancaman maklumat palsu yang mampu menggugat keharmonian masyarakat.
Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata HAWANA ialah pengiktirafan tertinggi terhadap pengorbanan wartawan yang berperanan sebagai benteng maklumat berwibawa.
Beliau berkata meskipun saluran maklumat berubah, kewartawanan akan terus relevan seiring peningkatan literasi masyarakat namun menuntut pengamal media untuk sentiasa meningkatkan kemahiran.
Lee juga berkata kehadiran kecerdasan buatan menuntut wartawan untuk lebih teguh berpegang kepada prinsip asas kewartawanan bagi mengekang penyebaran maklumat palsu yang dijana teknologi berkenaan.
“Dunia kewartawanan akan terus berkembang kerana peningkatan literasi dalam kalangan masyarakat sedunia menyaksikan permintaan terhadap sumber maklumat semakin bertambah," katanya kepada Bernama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial