KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Pengamal media perlu meletakkan integriti dan ketepatan maklumat sebagai tunjang utama dalam mendepani cabaran teknologi kecerdasan buatan (AI) serta lambakan kandungan daripada “wartawan rakyat” yang semakin berleluasa.
Pensyarah Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya Dr Muhammad Zaiamri Zainal Abidin berkata walaupun kepantasan menjadi keutamaan dalam era digital, etika kewartawanan tidak wajar dikorbankan semata-mata untuk mengejar rating atau penarafan.
“Isu utama yang dihadapi oleh media sekarang bukan soal ketepatan tetapi siapa cepat... namun, kita tak boleh mengejar kepantasan dengan mengorbankan etika kerana ia boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap maklumat yang disampaikan oleh media,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program terbitan Bernama Radio yang membincangkan topik “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti’ sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 hari ini.
Mengulas mengenai peranan media sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat, Muhammad Zaiamri berkata media arus perdana perlu kekal berkredibiliti dengan membawa agenda rakyat serta menjelaskan polisi kerajaan secara telus.
“Media harus berperanan membawa suara rakyat, iaitu rintihan dan isu yang mereka hadapi... bila media dapat melaksanakan peranan ini dengan membawa suara kerajaan dan pada masa sama, membawa suara rakyat, ini dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Zaiamri meminta kerajaan memperkenal garis panduan lebih terperinci berkaitan penggunaan AI bagi membantu sektor editorial memanfaatkan teknologi tersebut dalam memperkukuh pelaporan berita.
“AI merupakan antara peralatan yang sangat baik... bagi saya, amat rugi sekiranya kita tidak memanfaatkan ia dalam pelaporan... saya juga melihat keperluan menyediakan lebih banyak skim latihan kepada wartawan untuk mempertingkat kemahiran mereka dalam bidang seperti data journalism,” katanya.
Menyentuh mengenai penubuhan Majlis Media Malaysia, beliau menyifatkannya sebagai langkah penting bagi mewujudkan sistem semak imbang yang lebih holistik dalam industri media negara.
“Ia boleh menjadi semak imbang kepada apa bentuk polisi yang diperkenal... input dan kepakaran daripada pihak yang pelbagai itu menjadikan media kita bukan sekadar telus tetapi lebih berintegriti,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial