Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Mekanisme Pengesahan Umur Perlu Disertai Pendidikan Digital - MCCA

26/05/2026 11:23 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Pelaksanaan mekanisme pengesahan umur di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), perlu disokong dengan usaha pendidikan digital yang menyeluruh, bagi memastikan pengguna khususnya golongan muda memahami risiko serta cabaran dalam ruang siber.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata pihaknya menyokong usaha kerajaan memperkenalkan mekanisme berkenaan, bagi menghalang kanak-kanak bawah umur daripada memiliki akaun media sosial, namun pelaksanaannya perlu disertai penerangan dan sesi libat urus yang lebih meluas.

“Kita setuju dengan mekanisme pengesahan umur, kerana sejak awal lagi platform media sosial meletakkan garis panduan umur, tetapi tidak ada kaedah yang benar-benar dapat memastikan umur itu tidak ditipu.

Ad Banner
Ad Banner

“Kerajaan memperkenalkan kaedah ini supaya kanak-kanak bawah 16 tahun tidak boleh memiliki akaun media sosial,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini malam ini.

Siraj berkata kerajaan perlu mengadakan sesi dialog secara berperingkat pada pelbagai peringkat masyarakat, bagi memastikan rakyat memahami rasional pelaksanaan dasar itu serta mengelakkan sebarang salah faham.

Beliau berkata pendidikan berkaitan penggunaan Internet dan media sosial yang selamat perlu diterapkan sejak awal, kerana ilmu merupakan faktor utama dalam membentuk pengguna digital yang bertanggungjawab.

“Mekanisme pendidikan itu penting, supaya apabila generasi muda mencapai umur yang dibenarkan untuk memiliki akaun media sosial, mereka tidak berdepan kejutan dan lebih bersedia menggunakan platform digital secara selamat,” katanya.

Siraj turut mengingatkan ibu bapa supaya memainkan peranan sebagai pendidik tidak formal, dengan meningkatkan pengetahuan mengenai keselamatan siber sebelum membimbing anak-anak dalam penggunaan teknologi digital.

“Kesediaan ibu bapa sangat penting. Jika amalan keselamatan asas pun tidak diamalkan, bagaimana mereka mahu melindungi anak-anak dalam Internet? Sebab itu, pemahaman perlu dibentuk dan kerajaan perlu memastikan saluran komunikasinya diperkemas,” katanya.

Berkuat kuasa 1 Jun, pengguna platform media sosial perlu memuat naik dokumen rasmi yang dikeluarkan kerajaan bagi tujuan pengesahan umur, susulan pelaksanaan dua kod baharu di ONSA.

Dua kod yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu ialah  Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) serta Kod Pengurangan Risiko (RMC), bertujuan menyekat individu bawah usia 16 tahun daripada membuka akaun media sosial.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan