Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perdana Menteri Dijadual Rasmi Pesta Kaamatan 2026 Pada Sabtu Ini

26/05/2026 06:36 PM

KOTA KINABALU, 26 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual  menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di Penampang, pada Sabtu ini. 

Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 berkata Perdana Menteri dijadual tiba pada sebelah pagi dan akan menyertai acara simbolik menuai padi.

Beliau berkata Anwar bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kemudiannya dijadualkan mengadakan lawatan ke rumah tradisi yang terletak di Koisaan Cultural Village, KDCA selain beramah mesra dengan pengunjung yang hadir.

Ad Banner
Ad Banner

“Majlis penutupan rasmi pesta berkenaan pula akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman pada 31 Mei,” katanya pada sidang media bersempena dengan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, di sini, hari ini.

Pesta Kaamatan merupakan pesta menuai yang disambut oleh masyarakat di Sabah sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian padi yang lumayan, dan diraikan sepanjang bulan Mei dengan acara kemuncak pada 30 serta 31 Mei setiap tahun.

Dr Joachim berkata acara kemuncak selama dua hari itu dijangka dihadiri puluhan ribu pengunjung berdasarkan minat serta permintaan menggalakkan daripada pelancong antarabangsa dan delegasi luar negara.  

"Ini membuktikan bahawa Pesta Kaamatan bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Sabah, tetapi juga semakin mendapat perhatian di peringkat nasional dan antarabangsa sebagai salah satu festival budaya utama  di Malaysia," katanya.

Beliau berkata bagi memudahkan pergerakan dan mengurangkan kesesakan trafik, bas perantara secara percuma dari pusat membeli belah Imago dan Suria di sini turut disediakan ke Hongkod Koisaan, KDCA bermula 10 pagi hingga 10 malam.

“Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan dinasihatkan mengambil bas perantara ini. Selain itu saya nasihatkan dalam menyambut Pesta Kaamatan, kawal diri dan jaga tingkah laku masing-masing kerana kita semua adalah ‘duta’ mewakili Sabah dalam sambutan ini di mata luar,” katanya.

Beliau berkata sambutan kemuncak Pesta Kaamatan pada tahun ini juga bakal melakar sejarahnya yang tersendiri apabila KDCA dijadual menerima pengiktirafan sijil daripada Malaysia Book of Records buat kali pertama.

“Pengiktirafan berprestij tersebut diberikan atas kejayaan penganjuran perayaan itu sebagai festival yang paling panjang dilangsungkan di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan