Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MIM Perkukuh Pembangunan Kepimpinan Seiring Peranan Malaysia Sebagai Hab Strategik ASEAN

21/05/2026 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Institut Pengurusan Malaysia (MIM) akan terus memperkukuh peranannya sebagai platform untuk memupuk bakat kepimpinan pada masa depan tatkala Malaysia semakin dikenali sebagai hab strategik dalam ASEAN, kata presidennya Datuk Yeoh Soo Min.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kelebihan untuk menerajui pembangunan kepimpinan dan pengurusan susulan pemahaman mendalam negara tentang budaya, hubungan dan landskap perniagaan rantau ini.

“Pengetahuan global berharga dan kepakaran antarabangsa penting, tetapi pembangunan kepimpinan juga mesti berakar umbi dalam realiti Malaysia dan ASEAN,” katanya pada sidang akhbar mengenai Majlis Makan Malam Gala Diraja bersempena dengan UlangTahun ke-60 MIM, di sini, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Turut hadir ialah pengerusi MIM Datuk Zainal Amanshah Zainal Arshad, ketua pegawai eksekutif Kabenesh Eliathamby dan naik presiden Datuk Ng Tieh Chuan.

Yeoh berkata langkah seterusnya MIM adalah untuk memberi tumpuan bagi memastikan pembangunan kepimpinan kekal relevan, teliti dan sejajar dengan keperluan organisasi dan negara yang sentiasa berubah-ubah.

Beliau berkata pemimpin muda yang memegang peranan pengurusan pada peringkat awal perlu disokong, sementara pengetahuan institusi oleh pemimpin kanan harus terus dihargai.

Ad Banner

“Pembelajaran menjadi lebih padu apabila generasi belajar antara satu sama lain,” katanya sambil menambah pembangunan kepimpinan mesti seiring dengan perubahan keperluan industri dan organisasi.

Sementara itu, Yeoh berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menghadiri Majlis Makan Malam Gala Diraja sebagai tetamu kehormat diraja.

Beliau berkata majlis makan malam gala bersempena dengan ulang tahun ke-60 MIM itu yang dijadualkan berlangsung pada 8 Ogos depan di Hotel The Majestic Kuala Lumpur akan diserikan lagi dengan kehadiran baginda sekali gus mencerminkan bahawa pembangunan kepimpinan bukan sekadar agenda profesional tetapi juga tanggungjawab negara.

Acara itu yang dijangka dihadiri kira-kira 700 tetamu daripada wakil kerajaan, perniagaan, ahli akademik dan komuniti profesional, akan turut memberi penghargaan kepada individu yang menyumbang kepada pengurusan dan pembangunan negara.

Sejak penubuhannya pada 1966, MIM telah memperkasakan lebih daripada sejuta profesional dan 5,000 organisasi melalui program pembangunan kepimpinan, pendidikan eksekutif, pensijilan profesional, persidangan dan kerjasama strategik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan