Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sunway Velocity Mall Rai Warisan Peranakan Menerusi Nyonya Fest

21/05/2026 09:46 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Sunway Velocity Mall menganjurkan Nyonya Fest dari 19 Mei hingga 2 Jun, yang menawarkan pengalaman mendalam terhadap tradisi dan cita rasa budaya Peranakan yang kaya kepada pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Diinspirasikan oleh identiti budaya Peranakan yang berwarna-warni, festival yang diadakan di Vanity Atrium itu menampilkan hasil pertukangan halus dan keanggunan abadi yang sinonim dengan tradisi Nyonya menerusi susun atur indah yang menggabungkan pengaruh Melayu dan Cina, sekali gus mencerminkan warisan budaya masyarakat Peranakan.

Sunway Velocity Mall dalam kenyataan memaklumkan pengunjung akan disambut dengan jubin ikonik Baba Nyonya yang berwarna-warni serta dihiasi motif bunga dan geometri yang rumit, mengimbau suasana rumah dan rumah kedai tradisional Peranakan.

Ad Banner
Ad Banner

“Ia turut dilengkapi perabot kayu berinspirasikan vintaj, elemen rotan, hiasan dekoratif mewah, fabrik bersulam dan unsur hiasan nostalgia yang menghidupkan semula suasana mesra serta keanggunan kediaman klasik Nyonya,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan sepanjang festival berkenaan, pengunjung boleh meneroka barisan vendor yang dipilih khas dengan menampilkan produk unik, daripada fesyen kebaya tradisional, aksesori manik, motif berinspirasikan batik yang berwarna-warni, hiasan buatan tangan hinggalah kepada produk berinspirasikan warisan Peranakan dan interpretasi kontemporari budaya Nyonya.

Sementara itu, pencinta makanan boleh menikmati cita rasa nostalgia daripada Original Nyonya dan My Moments Presents Heristaste yang menampilkan kuih-muih tradisional Nyonya, kacang tumbuk serta snek berinspirasikan warisan yang dihasilkan menggunakan resipi dan teknik yang diwarisi turun-temurun.

Ad Banner

Pengunjung juga boleh menikmati biskut Joymom yang terkenal dengan rasa buatan sendiri yang menyenangkan serta resipi berinspirasikan warisan yang meraikan kehangatan dan nostalgia sajian tradisional keluarga.

Pengarah Kanan Pemasaran Sunway Malls Kuala Lumpur Darren Chear dalam kenyataan sama berkata Nyonya Fest diilhamkan dengan konsep mendekatkan warisan kepada masyarakat, khususnya generasi muda yang mungkin belum berpeluang menghayati sepenuhnya keindahan dan seni budaya Peranakan.

“Di pusat beli-belah ini, kami sentiasa mencari pendekatan bermakna untuk mencipta pengalaman yang melangkaui aktiviti peruncitan, iaitu pengalaman yang menghubungkan masyarakat melalui budaya, tradisi dan penceritaan,” katanya.

Turut memeriahkan suasana festival ialah persembahan kebudayaan secara langsung setiap minggu serta bengkel interaktif yang diadakan pada setiap hujung minggu dan cuti umum sepanjang tempoh kempen itu.

Pengunjung boleh menyertai aktiviti secara langsung seperti Pertandingan Mewarna Jubin Nyonya Hebat pada 23 Mei serta bengkel kraf tangan tradisional sambil mempelajari lebih mendalam mengenai seni dan tradisi masyarakat Peranakan.

Pengunjung juga boleh menikmati pengalaman Step Into Glam AI Photo Booth yang membolehkan mereka menghasilkan potret digital berinspirasikan Baba Nyonya, selain menebus hadiah eksklusif menerusi kempen Pesona Nyonya Redemption.

Pengunjung yang berbelanja minimum RM450 menerusi maksimum dua resit layak menyertai Pesona Nyonya Redemption yang menawarkan Tumbler Kenangan Starbucks dan Pek Pelekat Edisi Nyonya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan