Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MB Selangor Tegur Amalan "Selective Loyalty" Terhadap Institusi Diraja

21/05/2026 05:49 PM

SHAH ALAM, 21 Mei (Bernama) -- Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris hadir pada waktu yang amat penting iaitu ketika wujud kecenderungan segelintir pihak meniup api perkauman, memperalat sentimen agama dan institusi diraja demi kepentingan politik sempit.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata titah baginda bersempena dengan sambutan Aidiladha tahun ini menekankan kepentingan perpaduan umat, keharmonian masyarakat berbilang kaum serta tanggungjawab seluruh rakyat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan dan kestabilan negeri.

“Justeru, semua pihak termasuk pembangkang harus menghentikan amalan selective loyalty kononnya mempertahankan raja, agama dan bangsa hanya apabila menguntungkan kedudukan politik mereka tetapi mengabaikan prinsip yang sama apabila tidak memihak kepada kepentingan sendiri.

Ad Banner
Ad Banner

“Watak ini juga membisu hanya kerana politik apabila terdapat pihak luar yang menghina dan mencela kewibawaan institusi diraja Selangor,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata sebarang cubaan mengherotkan sejarah negara, menanam kebencian antara kaum atau mempersoalkan kerangka Perlembagaan Persekutuan demi keuntungan politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan berbahaya kepada masa depan negara.  

“Semua pihak harus meneliti Perlembagaan Persekutuan secara jujur dan bertanggungjawab serta membaca Pengisytiharan Kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj supaya sejarah negara tidak diputar belit menurut kepentingan politik sempit.

Ad Banner

“Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan secara terang dan zahir memperuntukkan bahawa Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara. Malaysia juga dengan jelas diasaskan sebagai sebuah Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin turut menjunjung kasih titah dan nasihat yang dizahirkan penuh hikmah oleh Sultan Selangor bersempena dengan sambutan Aidiladha kali ini.

Beliau berkata Malaysia dibina bukan atas kebencian kaum atau ketakutan agama tetapi berasaskan semangat muafakat, persefahaman antara pelbagai latar belakang dan keluhuran undang-undang.

“Rakyat juga harus menjunjung kasih titah Tuanku untuk menghayati Rukun Negara secara menyeluruh, termasuk membaca dan memahami latar belakang serta mukadimahnya, kerana di situlah terkandung cita-cita besar para pendiri negara.

“Rukun Negara bukan sekadar lafaz di majlis rasmi tetapi falsafah kebangsaan yang harus dihayati dalam kehidupan bernegara,” katanya.

Amirudin juga berkata kerajaan negeri akan terus berpegang kepada semangat perpaduan, kesederhanaan dan penghormatan terhadap Raja Berperlembagaan serta kedaulatan undang-undang sebagaimana digariskan oleh para pengasas negara yang dizahirkan semula melalui titah dan nasihat Sultan Selangor.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan