Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rapid Penang On-demand Perkukuh Mobiliti Awam, Lengkapkan Perjalanan Pengguna

21/05/2026 05:38 PM

GEORGE TOWN, 21 Mei (Bernama) -- Rapid Penang On-Demand (ROD) semakin memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang menerusi penyediaan perkhidmatan lebih fleksibel khususnya bagi pengguna di kawasan perumahan yang jauh dari laluan bas utama.

Ketua Wilayah Utara Rapid Bus Sdn Bhd Mohd Amir Abd Halim berkata perkhidmatan alternatif kepada sistem bas konvensional yang beroperasi mengikut laluan dan jadual tetap itu mendapat sambutan apabila empat zon utama merekodkan purata jumlah penumpang harian tertinggi sepanjang Mac dan April tahun ini.

Berdasarkan rekod semasa, beliau berkata zon George Town mencatatkan purata jumlah penumpang harian tertinggi, iaitu 277 penumpang pada Mac dan meningkat kepada 320 penumpang pada April.

Ad Banner
Ad Banner

"Zon Gurney pula merekodkan 266 penumpang harian pada Mac dan 268 penumpang pada April, diikuti zon Sunway dengan 242 penumpang pada Mac dan 258 penumpang pada April.

“Zon Farlim yang menjadi antara kawasan penanda aras awal turut menunjukkan permintaan positif apabila merekodkan purata 193 penumpang harian pada Mac dan 185 penumpang pada April,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini baru-baru ini.

ROD merupakan perkhidmatan yang fleksibel serta efisien berkonsepkan atas permintaan atau On-Demand dengan menggunakan van sebagai mod pengangkutan.

Ad Banner

Mohd Amir berkata trend itu menunjukkan semakin ramai pengguna mula yakin dan menjadikan ROD sebagai sebahagian daripada pilihan pengangkutan harian mereka khususnya bagi melengkapkan perjalanan batuan pertama dan batuan terakhir ke rangkaian bas Rapid Penang sedia ada.

Beliau berkata ROD menggunakan sistem tempahan masa nyata menerusi aplikasi Rapid On-Demand yang membolehkan pergerakan van disusun secara dinamik mengikut permintaan pengguna, lokasi hentian, zon perkhidmatan dan keadaan trafik semasa.

“Perkhidmatan ini membantu merapatkan jurang akses pengangkutan awam khususnya bagi pengguna yang tinggal di kawasan perumahan yang jauh daripada laluan utama bas," katanya.

Selain itu, beliau berkata perkhidmatan tersebut juga berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas dan isu kekurangan parkir terutama di kawasan pusat bandar.

Katanya Rapid Penang kini memberi tumpuan kepada usaha menambah baik prestasi setiap zon perkhidmatan termasuk menambah lokasi mengambil dan menurunkan penumpang serta menyediakan hentian pertukaran antara zon bagi memudahkan sambungan perjalanan pengguna.

 Mohd Amir berkata pihaknya turut melaksanakan gabungan beberapa zon ROD bagi membolehkan pengguna menikmati perjalanan terus tanpa perlu menukar zon perkhidmatan termasuk zon Farlim dengan Paya Terubong, Bayan Baru dengan Bayan Lepas serta Bukit Mertajam dengan Alma.

Beliau berkata Rapid Penang juga sedang menambah baik algoritma dan logik aplikasi ROD untuk mengelakkan lencongan van yang terlalu jauh dari lokasi tempahan dan memastikan tempoh menunggu 15 minit dapat dipenuhi secara konsisten.

Dalam perancangan jangka panjang, beliau berkata sebanyak 170 van elektrik akan diperkenalkan secara berperingkat bermula akhir 2027 bagi menyokong peluasan zon perkhidmatan di samping menambah baik kecekapan van.

Mengulas mengenai cabaran pelaksanaan ROD, Mohd Amir berkata antara isu utama ialah tahap kesedaran masyarakat serta penggunaan aplikasi digital khususnya dalam kalangan warga emas.

"Untuk mengatasi perkara ini, Rapid Penang giat melaksanakan kempen penerangan bersama komuniti setempat, kolej, universiti dan pusat beli-belah bagi memastikan maklumat yang jelas dapat disampaikan," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan