TONGOD, 20 Mei (Bernama) -- Lebih RM4 bilion peruntukan disalurkan kerajaan Persekutuan kepada Sabah bagi melaksanakan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB), yang akan membantu menangani masalah air dihadapi penduduk di luar bandar.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata kuasa melaksanakan projek itu juga sudah diturunkan kepada kerajaan negeri dan pada tahun ini lebih RM4 biliion disalurkan KKDW untuk tujuan berkenaan.
“Pada April lepas, kerajaan Persekutuan melalui KKDW menyerahkan kuasa kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek Bekalan Air, dengan peruntukan lebih RM4 bilion dan saya berharap daerah Tongod juga dapat manfaat, sekaligus masalah air dihadapi penduduk di Tongod dapat diatasi.
“Hal ini yang selalu dibincang dengan kerajaan Persekutuan, jika berbincang secara berhemah, banyak urusan dulu dikendali oleh Persekutuan atau jabatannya di Sabah, tapi sejak lima tahun ini kerajaan Gabungan Rakyat Sabah memperlihatkan banyak kuasa diturunkan kepada negeri termasuk air ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod Tahun 2026 di Dewan Terbuka Dataran Rakyat Tongod, di sini hari ini.
Dalam pada itu Hajiji berkata semangat kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan mesti diteruskan tanpa meminggirkan kepentingan Sabah, selain pada masa yang sama tetap menjaga kepentingan Malaysia sebagai negara.
“Jangan kerana menuntut hak negeri, kita keruhkan hubungan dengan Persekutuan, sebaliknya kita kena bangunkan juga negara kita Malaysia, Sabah ialah negeri yang sama-sama membentuk Malaysia, jadi apa yang kita buat mesti dilakukan bersama.
“Hal ini yang perlu kita buat, jangan kita gaduh dengan Persekutuan, rugi kita kerana untuk bangunkan Sabah, kita perlukan pertolongan Persekutuan,” katanya lagi.
Meskipun di masa depan peruntukan hasil Sabah meningkat termasuk menerusi bayaran cukai bersih 40 peratus Hajiji berkata Sabah masih memerlukan kerjasama Persekutuan untuk terus menjadi negeri yang maju di Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan Sabah akan terus memberi tumpuan terhadap pembangunan kawasan pedalaman menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk memastikan daerah Tongod tidak tercicir daripada arus kemajuan negeri.
Hajiji berkata sepanjang tahun lepas hingga pertengahan tahun ini, Tongod merekodkan lonjakan signifikan dalam pembangunan infrastruktur meliputi jaringan jalan raya, sektor ekonomi, pendidikan serta potensi pelancongan lestari.
Beliau berkata kerajaan negeri komited memperkasakan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Tongod dengan daerah luar seperti Keningau, Telupid, Sandakan dan Tawau, bagi meningkatkan mobiliti rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi hiliran di kawasan itu.
Pada majlis itu, Hajiji turut menyerahkan 239 geran tanah termasuk deraf PANTAS kepada penduduk Tongod, melibatkan keluasan 583.38 hektar tanah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial