Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MCMC Rancang Bina Menara Baharu Atasi Masalah Internet Di Felda Chiku 2

20/05/2026 11:31 AM

GUA MUSANG, 20 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memasukkan cadangan pembinaan menara telekomunikasi baharu menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) sebagai langkah jangka panjang bagi memperkukuh liputan serta meningkatkan kestabilan dan kualiti perkhidmatan Internet di Felda Chiku 2 di sini.

Menerusi kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan langkah itu diambil susulan aduan penduduk mengenai capaian Internet yang amat terhad di kawasan berkenaan.

Menurut MCMC, kawasan terbabit secara amnya telah dilengkapi kemudahan Internet bagi memenuhi keperluan penduduk setempat, namun pemantauan mendapati masih terdapat beberapa lokasi dikenal pasti sebagai “titik buta” yang memerlukan penambahbaikan dari aspek liputan dan kualiti perkhidmatan.

Ad Banner
Ad Banner

“Sehubungan dengan itu, MCMC telah melaksanakan ujian kualiti perkhidmatan telekomunikasi di tiga lokasi yang dinyatakan pengadu bagi menilai tahap sebenar prestasi rangkaian di kawasan terlibat,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan hasil pengujian berkenaan sedang dianalisis secara terperinci bagi menentukan tindakan susulan yang bersesuaian demi memastikan pengalaman pengguna yang lebih baik.

Selain itu, MCMC turut mempertimbangkan pemasangan peranti Starlink sebagai penyelesaian interim di lokasi yang akan dikenal pasti.

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Pengerusi Belia Felda Chiku 2 Muhammad Zaidatul Azizi Mohd Zaidatul Azman berkata penduduk di tanah rancangan itu berdepan masalah capaian Internet tidak stabil sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata penghuni kira-kira 200 rumah terpaksa keluar lebih satu kilometer bagi mendapatkan akses Internet lebih baik.

“Antara lokasi paling terjejas ialah di sekitar kawasan masjid hingga berhampiran Gua Chiku 2. Keadaan ini menyukarkan belia mengikuti aktiviti digital termasuk pembelajaran dan urusan harian,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan