KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Malaysia semakin menghampiri slot suku akhir acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas membelasah India 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B, di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.
Regu pertama negara yang dibarisi Zuleffendi Sumari selaku pengumpan, Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong) dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin (perejam) membuka langkah cemerlang apabila menghadiahkan mata pertama buat skuad negara menerusi kemenangan 15-10, 15-10.
Malaysia kemudian menggandakan kedudukan menerusi regu kedua yang dianggotai Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam yang turut mencatat kemenangan 15-10, 15-12.
Regu ketiga negara yang diwakili Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia selepas mudah menundukkan lawan 15-3, 15-5.
Skuad negara dijadualkan berdepan Myanmar bagi menentukan juara Kumpulan B, dengan hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir.
Sementara itu, pengurus pasukan Datuk Abu Jimi Samat mengingatkan pemain supaya tidak memandang mudah cabaran Myanmar dalam aksi malam esok.
Beliau berkata berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, Myanmar tetap mampu memberi tentangan sengit kepada Malaysia dalam acara regu, selain pernah mencabar kekuatan Thailand dalam beberapa kejohanan terdahulu.
“Berdasarkan pemerhatian dan rekod pertemuan sebelum ini, kita lihat ia tidak memberikan satu situasi yang terlalu berat kepada pasukan negara.
“Bagaimanapun, berdasarkan prestasi Myanmar dalam beberapa acara sebelum ini yang menunjukkan peningkatan, kita tidak boleh memandang mudah,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial