KOTA KINABALU, 11 Mei (Bernama) -- Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli mengadakan pertemuan bersama Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, disini.
Keberangkatan tiba baginda di istana pada 2.08 petang disambut oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pembantu Menteri Kewangan Datuk Isyak Ayub serta pegawai kanan istana.
Baginda kemudian menandatangani buku lawatan sebelum diiringi oleh Mohd Arifin dan Isyak ke Pejabat Yang DiPertua Negeri Sabah bagi pertemuan bersama Tun Musa.
Pertemuan yang berlangsung selama lebih sejam antara Tengku Hassanal bersama Tun Musa itu adalah untuk bertukar-tukar pandangan dan idea berkaitan pelbagai perkara.
Seterusnya, baginda akan berangkat ke Kundasang, Ranau bagi mengetuai Ekspedisi Mahkota Borneo yang dijadual berlangsung bermula hari ini hingga 13 Mei.
Menerusi ekspedisi itu, Tengku Hassanal dijadual mendaki Gunung Kinabalu esok (12 Mei) bersama pegawai dan anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) serta pengiring rapat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ekspedisi Mahkota Borneo itu turut mencerminkan semangat kepimpinan, ketahanan fizikal dan disiplin tinggi yang sentiasa diterapkan oleh Baginda dalam kalangan generasi muda serta pasukan keselamatan negara.
Selain itu, ekspedisi berkenaan juga dilihat mampu mengukuhkan hubungan silaturahim dan kerjasama strategik antara negeri Pahang dan Sabah, di samping menyemarakkan semangat perpaduan serta patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial