Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Auntea Jenny Terima Pengiktirafan ASIA Records Jual 90 Juta Gelas Mango Pomelo Sago

10/05/2026 11:09 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Rangkaian kedai teh buah segar, Auntea Jenny menerima pengiktirafan daripada ASIA Records selepas minuman istimewanya Mango Pomelo Sago merekodkan jualan hampir 90 juta gelas pada tahun lepas merentasi empat negara.

Pengurus Besar Auntea Jenny Malaysia Ng Ching Wai berkata pengiktirafan berkenaan satu pencapaian membanggakan bagi syarikat tersebut, mencerminkan penerimaan pengguna yang semakin meningkat terhadap minuman itu di peringkat antarabangsa.

“Mango Pomelo Sago kami berjaya kerana menggabungkan kualiti buah sebenar dengan rasa yang tidak asing lagi di seluruh Asia. Ia lebih daripada sekadar minuman, ia menghubungkan budaya pencuci mulut bersama dengan keseronokan harian,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian plak dan pelancaran pensijilan halal jenama itu di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Iszam Padil, Pengarah ASIA Records Gillian Ooi serta One-Day Store Manager Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyanyi serta pelakon Bella Astillah.

Ng berkata syarikat itu telah mengemukakan data jualannya kepada ASIA Records, yang kemudian menjalankan proses verifikasi sebelum mengesahkan pencapaian tersebut.

Beliau berkata angka jualan itu diterjemahkan kepada kira-kira 300,000 gelas Mango Pomelo Sago yang dijual setiap hari pada 2025, dengan jualan disumbangkan oleh cawangan di China, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner

Ng berkata syarikat itu juga sedang pesat berkembang tahun ini dengan rancangan untuk melebarkan sayap ke enam lagi negara termasuk Thailand, Australia, Jerman, Indonesia dan United Kingdom.

Mengenai pensijilan halal, Ng menyifatkannya sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh kepercayaan pengguna dan keterangkuman, khususnya apabila Malaysia berperanan sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.

“Pensijilan halal bukan sahaja berkaitan untuk menjangkau pengguna Muslim, tetapi juga mengekalkan standard tertinggi dari segi kebersihan, logistik, pengeluaran dan keselamatan,” katanya.

Ng berkata proses pensijilan tersebut mengambil masa hampir enam bulan dan ketika ini meliputi 12 cawangan di Malaysia, termasuk di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Pahang, Perak dan Melaka.

Beliau berkata syarikat itu kini mengendalikan kira-kira 50 cawangan di seluruh negara dan menyasarkan 100 cawangan di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Selain pelan pengembangan, Ng berkata jenama itu akan memperkenalkan rangkaian minuman berasaskan kale yang baharu pada 20 Mei sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan pilihan minuman yang lebih sihat dengan kurang gula dan lebih banyak bahan semula jadi.

“Misi sebenar kami kekal tidak berubah, ‘True Fruits, True Tea, True Quality’. Kami percaya setiap gelas yang kami hidangkan datang bersama tanggungjawab, iaitu tanggungjawab terhadap kesegaran, keaslian dan pengalaman pelanggan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan