ALOR GAJAH, 10 Mei (Bernama) -- Program Skillbox@Kelab Malaysiaku menjadi medan bagi melahirkan generasi pemimpin masa depan negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Julina Johan.
Beliau berkata program selama tiga hari bermula Jumaat dan berakhir hari ini, yang dilaksanakan bagi peringkat Zon Semenanjung berjaya menghimpunkan kira-kira 500 peserta berusia 13 hingga 17 tahun, yang menyertai Kelab Malaysiaku peringkat sekolah masing-masing.
“Kelab Malaysiaku ini satu daripada produk di bawah JAPEN yang menyasarkan generasi pemimpin masa depan negara.
“Selain menerapkan semangat patriotik dan semangat kenegaraan, kita juga menambah beberapa modul, antaranya Mobile Journalism (MoJo) memandangkan ada sekolah mempunyai unit multimedia masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Skillbox@Kelab Malaysiaku Zon Semenanjung 2026 di Kem Permata Resort yang turut dihadiri Pengarah JAPEN Melaka Mazli Hamdan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Julina berkata JAPEN akan membantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyebarluaskan maklumat berkaitan had umur 16 tahun menggunakan media sosial kepada masyarakat.
Beliau berkata ia selaras dengan hasrat kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi bagi menyediakan Internet yang lebih selamat kepada pengguna terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Cadangan had umur 16 tahun dijangka dilaksanakan seawal separuh kedua tahun ini melalui fasa regulatory sandbox, selaras dengan pendekatan berperingkat yang menilai keberkesanan dasar sebelum penguatkuasaan penuh.
Kerajaan juga mempertimbangkan penggunaan sistem pengesahan identiti digital seperti Age Verification (pengesahan umur) bagi memastikan ketepatan pengesahan umur pengguna dalam talian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial