KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Musyawarah Nasional didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghimpunkan seluruh pemikiran dan aspirasi Melayu-Islam supaya gerakan itu tidak dimonopoli mana-mana parti politik, kelompok mahupun individu tertentu.
Ahmad Zahid yang juga pengasas Musyawarah Nasional berkata gerakan itu perlu menjadi wadah bersama yang bersifat inklusif dan berterusan dalam memperjuangkan agenda Melayu, Islam serta perpaduan negara secara lebih tersusun.
“Setiausaha Tetap Musyawarah Nasional hendaklah segera mengambil tindakan untuk mendaftarkan Musyawarah Nasional sebagai sebuah NGO di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Jangan ditubuhkan sebagai gabungan parti politik, tetapi sebuah NGO yang menggabungkan fikrah seluruh kaum Melayu-Islam di negara ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Musyawarah Nasional bertemakan “Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya” yang julung kali diadakan di sini hari ini.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata Musyawarah Nasional perlu menjadi milik semua pihak yang ikhlas mahu melihat bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini terus diperkasakan.
“Musyawarah Nasional ini bukan milik mana-mana individu, bukan juga milik mana-mana kelompok atau mana-mana politik dan ia mesti menjadi milik semua yang ikhlas, yang mahu melihat bangsa ini berdiri dengan lebih yakin, lebih bermaruah dan lebih tersusun untuk berjaya membangun bangsa di tanah air sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberi jaminan segala resolusi dan cadangan yang dibangkitkan dalam Musyawarah Nasional tidak akan dibiarkan menjadi retorik atau dokumen simpanan, sebaliknya dipantau sehingga ke peringkat pelaksanaan.
Menurutnya, beliau sendiri akan memastikan setiap resolusi yang dipersetujui diterjemahkan kepada tindakan susulan dengan penglibatan kementerian dan agensi kerajaan berkaitan.
“Saya tidak mahu resolusi hanya diserahkan kepada kementerian dan jabatan, kemudian ‘dibakulkan’ begitu sahaja… saya sendiri akan membawa cadangan-cadangan ini kepada Kabinet dan semua menteri Melayu-Islam dalam kerajaan perlu memainkan peranan untuk memastikan agenda ini dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata satu sekretariat tetap di bawah Musyawarah Nasional juga akan diwujudkan bagi memantau pelaksanaan semua cadangan selain memastikan lima teras utama melibatkan agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial dibincangkan secara berkala.
Ahmad Zahid berkata pengerusi bagi setiap teras yang dibentangkan dalam musyawarah itu turut dipertanggungjawab mengadakan pertemuan susulan sekurang-kurangnya setiap dua bulan bagi memperincikan pelaksanaan agenda berkaitan Melayu, Islam dan perpaduan nasional.
Antara resolusi yang dibawa dalam Musyawarah Nasional ialah memperkasakan ekonomi Melayu dan bumiputera secara lebih berani dan tersusun bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat itu serta mengeluarkan mereka daripada kelompok berpendapatan rendah.
“Bantuan tetap penting tetapi bantuan bukan strategi jangka panjang. Strategi sebenar ialah pemilikan kemahiran, pekerjaan bergaji tinggi, akses modal, akses pasaran dan penguasaan sektor masa depan,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, institusi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu diberi mandat lebih jelas sebagai enjin pembangunan bumiputera.
Beliau berkata negara juga perlu melahirkan lebih ramai usahawan dan pemain industri bumiputera dalam sektor strategik seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, tenaga baharu, industri halal, pertanian moden dan teknologi tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial