BANGI, 10 Mei (Bernama) -- Cadangan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun merupakan sebahagian daripada agenda reformasi institusi yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata langkah itu mencerminkan usaha pembaharuan institusi bagi memastikan prinsip semak dan imbang serta pengehadan kuasa dapat dilaksanakan dalam sistem demokrasi negara.
“Sebab itulah Perdana Menteri Malaysia ke-10, Anwar Ibrahim, wajar dihormati kerana beliau sendiri menawarkan untuk mengehadkan tempoh jawatannya.
“Maksudnya, kalau tempohnya 10 tahun, sekarang ini beliau sudah pun memegang jawatan itu selama tiga tahun. Jadi katakanlah beliau bertanding, contoh pilihan raya tahun ini… beliau boleh jadi Perdana Menteri lagi tujuh tahun," katanya pada sesi soal jawab bersama peserta program Town Hall Kerangka Akauntabiliti MADANI 2026 di sini hari ini.
Bagi merealisasikan agenda itu, Azalina berkata semua Ahli Parlimen perlu menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun apabila RUU itu dibentangkan semula di Dewan Rakyat pada Jun ini.
Meluahkan kekecewaan terhadap ketidakhadiran Ahli Parlimen ketika proses pengundian di Parlimen hingga tidak memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat, Azalina berkata ia turut berpunca daripada ketiadaan beberapa Ahli Parlimen, termasuk dua daripada Barisan Nasional dan seorang daripada Pakatan Harapan.
Beliau berkata Ahli Parlimen, termasuk yang tidak bersetuju dengan mana-mana RUU, masih bertanggungjawab untuk menghadiri persidangan Parlimen bagi memastikan pendirian atau bantahan mereka direkodkan secara rasmi.
Pindaan RUU tersebut, kata Azalina perlu dilaksanakan bagi mengelakkan pemusatan kuasa politik yang berlebihan.
Pada Mac lepas, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dilaporkan berkata keputusan undi belah bahagian menyaksikan seramai 146 Ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi, manakala pindaan Perlembagaan berkenaan memerlukan sekurang-kurangnya 148 undi bagi mencapai majoriti dua pertiga untuk diluluskan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial