KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Kekangan masa untuk membuat persiapan dan latihan tidak menghalang pengamal media yang menyertai Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 daripada memberikan komitmen penuh demi menyokong usaha memartabatkan bahasa Melayu menerusi seni pantun.
Wartawan Sinar Harian Aisyah Basaruddin mengakui pasukannya tidak mempunyai banyak masa untuk membuat persediaan berikutan jadual kerja yang padat, namun tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan.
Beliau berkata penyertaan dalam pertandingan itu bukan sekadar mengejar kemenangan, tetapi turut menjadi ruang mengeratkan hubungan sesama pengamal media selain mengetengahkan sisi kreatif wartawan yang jarang diketahui umum.
“Program ini membuka peluang untuk kami berkumpul semula dengan rakan-rakan media dalam suasana lebih santai dan berbeza daripada tugasan harian di bilik berita. Kita dapat lihat wartawan bukan sahaja mahir menulis dan menyampaikan berita, tetapi juga mempunyai kreativiti dan bakat dalam seni berpantun,” katanya kepada Bernama.
Beliau turut memuji inisiatif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang konsisten menganjurkan pesta pantun setiap tahun dengan penambahbaikan ketara, selain menyifatkan penganjuran di Kompleks Kraf kali ini dengan pentas lebih besar dan kehadiran penonton yang ramai berjaya meningkatkan keyakinan peserta.
Mengulas lanjut, Aisyah berkata pasukannya mula membuat persediaan kira-kira sebulan lebih awal, namun kesibukan tugas menyebabkan latihan secara fizikal agak terhad.
“Tema kewartawanan dan teknologi tahun ini memerlukan kami memahami isu semasa sebelum diterjemahkan dalam bentuk pantun.
“Kita gunakan Internet dan teknologi seperti ChatGPT untuk membantu mendapatkan idea, tetapi dari segi rima, pembayang dan susunan pantun tetap dibincangkan bersama supaya identiti pantun Melayu terus dikekalkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Media Selangor Mahadi Mohd Mustafa berkata pasukannya yang menyertai pertandingan itu buat kali pertama turut berdepan dengan cabaran masa kerana kebanyakan peserta memegang jawatan penting dalam organisasi.
Beliau berkata walaupun latihan hanya sempat dilakukan kira-kira dua jam sehari dalam tempoh dua minggu, mereka tetap berusaha memberikan persembahan terbaik demi menyokong program anjuran Bernama dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu.
“Pada masa sama, kami mahu memperkenalkan jenama Media Selangor. Menang atau kalah itu nombor dua, yang penting kami mahu bersama-sama memeriahkan program ini,” katanya, sambil menambah pertandingan itu memberikan pendedahan kepada pasukannya tentang teknik penyampaian pantun secara spontan dan lebih berkesan.
Wartawan penyiaran Bernama Radio Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi pula berkata penyertaan kali kedua pasukannya dalam pertandingan itu lebih tersusun dan sistematik berbanding tahun lepas.
Katanya, latihan intensif dilakukan dalam tempoh seminggu dengan komitmen penuh setiap ahli pasukan bagi memastikan persembahan lebih kemas dan teratur.
“Kami cuba membuat persiapan lebih baik berbanding tahun lepas dan alhamdulillah banyak perkara dapat dibaiki, termasuk strategi menjawab dan pembahagian idea ketika berpantun,” katanya.
Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 adalah antara pengisian awal menuju kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang akan berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial