Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

TCG LHDN Diperkasakan, Tambah Baik Kebolehcapaian Dan Perkenal Fasa Pemantauan

05/05/2026 11:31 AM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Pelaksanaan Program Tadbir Urus Percukaian Korporat (TCG) oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) diperkasakan lagi melalui penambahbaikan dari segi kebolehcapaian dan kecekapan, selain memperkenalkan fasa pemantauan yang lebih berstruktur bagi syarikat yang menyertai program berkenaan.

Pengarah Unit Bahagian Dasar dan Kualiti Audit Cukai Sektor Pematuhan Cukai LHDN Najlah Ishak berkata dari aspek akses dan kecekapan, beberapa inisiatif baharu telah diperkenalkan termasuk semakan tahunan secara automatik serta perluasan kriteria kelayakan.

“Syarikat Pegangan Pelaburan (IHC) kini layak menyertai program ini sekiranya penyertaan dibuat bersama anak syarikat atau syarikat bersekutu mereka. Langkah ini membolehkan kumpulan syarikat mengamalkan tadbir urus percukaian secara lebih menyeluruh pada peringkat kumpulan,” katanya ketika menjadi tetamu program Klinik Cukai terbitan Bernama Radio, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Mengulas lanjut, beliau berkata fasa pemantauan yang berkuat kuasa pada 1 Dis tahun lepas menetapkan syarikat yang menyertai program akan melalui tempoh pemantauan selama tiga tahun, dengan LHDN menilai risiko secara tahunan, berinteraksi dengan peserta apabila perlu serta menyemak surat pengisytiharan kendiri tahunan yang dikemukakan oleh syarikat.

“Peserta juga dikehendaki untuk membuat pendedahan secara proaktif terhadap transaksi material yang signifikan kepada LHDN secara masa nyata, tanpa menunggu ke peringkat kemudian.

“Peringkat akhir, mesyuarat risiko tahunan akan diadakan antara LHDN dengan syarikat peserta,” katanya sambil menambah setakat ini, program berkenaan hanya tertumpu kepada syarikat berskala besar.

Ad Banner
Ad Banner

Najlah berkata penambahbaikan itu mencerminkan usaha LHDN dalam membangunkan rangka kerja tadbir urus yang lebih tersusun dan praktikal, sekali gus membolehkan syarikat dengan tadbir urus percukaian yang kukuh berinteraksi dengan pihak berkuasa cukai secara lebih telus dan kolaboratif.

Selain itu, beliau berkata rangka kerja TCG bertujuan membezakan secara jelas antara syarikat yang mempunyai tahap pematuhan cukai yang tinggi dengan pembayar cukai yang memerlukan pemantauan dan kawal selia yang lebih rapi oleh LHDN.

“Program TCG berfungsi sebagai satu mekanisme penapisan (TCG filter). Syarikat yang menunjukkan tadbir urus percukaian yang kukuh, amalan yang telus serta pengurusan cukai yang bertanggungjawab akan dikenal pasti sebagai syarikat berisiko rendah atau berstatus pematuhan tinggi.

“Program ini turut memberikan manfaat strategik kepada pentadbiran percukaian. Ia membolehkan LHDN mengoptimumkan strategi penguatkuasaan. Bagi syarikat yang menunjukkan tadbir urus percukaian yang kukuh, program TCG menyediakan satu laluan kerjasama, yang juga boleh dianggap sebagai satu bentuk penglibatan safe harbour,” katanya.

Najlah berkata secara keseluruhannya, program TCG bertujuan mewujudkan persekitaran pematuhan yang lebih kolaboratif, membolehkan pembayar cukai yang patuh dapat berinteraksi dengan pihak berkuasa cukai secara lebih lancar, seterusnya memberikan ruang kepada usaha penguatkuasaan untuk difokuskan kepada pihak yang benar-benar memerlukan perhatian.

Beliau berkata program TCG dirangka sebagai inisiatif jangka panjang dengan hala tuju yang jelas hingga 2030, iaitu LHDN akan bergerak ke arah sistem pematuhan secara masa nyata dan berasaskan data.

“Antara fokus utama termasuklah memperluas penyertaan syarikat, memperkukuh garis panduan dan mekanisme pemantauan serta mengintegrasikan TCG dalam kerangka tadbir urus korporat yang lebih luas.

“Dalam jangka masa panjang, TCG diharap menjadi penanda aras nasional kepada amalan percukaian yang bertanggungjawab dan membina budaya pematuhan yang mampan di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan