Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pembayar Cukai Disaran Kemas Kini Maklumat Secara Berkala, Bukan Hanya Musim e-Filing

21/04/2026 12:36 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Pembayar cukai disaran supaya lebih proaktif mengemas kini maklumat percukaian masing-masing secara berkala, dan tidak hanya menunggu musim pengisytiharan pendapatan (e-Filing).

Eksekutif Hasil Kanan I Jabatan Pungutan Hasil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Azaharuddin Mohd Ali berkata kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab cukai lazimnya hanya meningkat apabila tiba tempoh pengisytiharan berkenaan.

“Ramai masyarakat hanya membuka aplikasi MyTax atau portal hasil.gov.my apabila ingin mengemukakan e-Filing, sedangkan semakan berkala penting bagi memastikan maklumat seperti pendapatan, pelepasan cukai dan status cukai sentiasa tepat dan terkini.

Ad Banner

“Pematuhan cukai bukan sahaja melibatkan pembayaran, malah merangkumi tanggungjawab melaporkan pendapatan dengan jujur, menyimpan rekod kewangan yang lengkap serta memahami kelayakan pelepasan cukai,” katanya semasa menjadi tetamu 'Klinik Cukai' yang disiarkan Bernama Radio, hari ini.

Azaharuddin mengingatkan kegagalan mematuhi tanggungjawab percukaian boleh berdepan tindakan penguatkuasaan LHDN, sambil menggalakkan orang ramai memanfaatkan kemudahan digital seperti MyTax bagi memudahkan urusan mereka.

“Platform ini bukan sahaja memudahkan proses e-Filing, malah membolehkan pembayar cukai menyemak maklumat, mengemas kini profil serta mendapatkan notifikasi berkaitan cukai dengan lebih cepat,” katanya.

Ad Banner

Beliau berkata hasil kutipan cukai memainkan peranan kritikal dalam membiayai agenda pembangunan negara termasuk penyediaan infrastruktur, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan