Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

AI Dan Automasi Semakin Dominan, Adaptasi Tenaga Kerja Kunci Kelangsungan

01/05/2026 05:25 PM

Oleh Puti Iylia Maisarah

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Gelombang kecerdasan buatan (AI) dan automasi yang semakin pesat bukan sahaja mengubah cara kerja, malah menguji keupayaan dan ketahanan sebenar tenaga kerja Malaysia untuk kekal relevan dalam landskap pekerjaan yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Talent Corporation Malaysia Bhd, Biruntha Mooruthi berkata, dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang kira-kira 697,000 pekerja di Malaysia dijangka terkesan susulan penerimagunaan meluas AI, pendigitalan dan ekonomi hijau merentas 22 sektor. 

Ad Banner

Dalam konteks ini, keupayaan untuk kekal relevan tidak lagi bergantung kepada kelayakan semata-mata, sebaliknya pada kemampuan untuk beradaptasi, meningkatkan kemahiran dan beralih ke peranan bernilai tinggi.

Sehubungan itu, peranan institusi pembangunan tenaga kerja, khususnya agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia menjadi kritikal dalam memperkukuh ekosistem bakat negara melalui program peningkatan kemahiran, latihan semula serta pemadanan bakat dengan keperluan industri.

Biruntha berkata sektor perkhidmatan seperti hospitaliti, pelancongan dan runcit, selain pengangkutan awam dan udara yang dipacu sistem operasi pintar antara yang paling kritikal dalam tempoh jangka pendek hingga sederhana.

Ad Banner
Ad Banner

Turut terkesan ialah sektor pembuatan seperti minyak dan gas yang kini menuju ke arah pengeluaran pintar melalui robotik dan teknologi Industri 4.0, serta sektor penjagaan kesihatan yang semakin bergantung kepada kesihatan digital, diagnostik dan pengurusan data pesakit berasaskan AI.

“Namun, kesan ini tidak berlaku secara sekata. Ia lebih tertumpu kepada sektor yang mempunyai kebergantungan tinggi kepada tugasan rutin, intensif data, serta sedang bergerak pantas ke arah automasi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tumpuan TalentCorp bukan sekadar mengenal pasti sektor yang terkesan, tetapi turut memastikan intervensi pembangunan bakat dilaksanakan mengikut sektor, peranan pekerjaan dan tahap risiko.

Katanya, AI tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada kehilangan pekerjaan tetapi sebagai 'job transformer' yang mengubah landskap kerjaya sekali gus menjadi pemangkin ke arah ekonomi yang lebih produktif dan berdaya saing.

Perkara itu selari dengan dapatan kajian impak TalentCorp yang mengenal pasti kira-kira 120 peranan pekerjaan baharu yang bakal muncul dalam tempoh terdekat.

Daripada jumlah itu, sebanyak 73 peratus tertumpu kepada peranan kritikal seperti Arkitek AI dan Saintis Data, diikuti 18 peratus dalam ekonomi hijau seperti Pegawai Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Pegawai ESG) dan Pengurus Bateri Kenderaan Elektrik, manakala baki sembilan peratus melibatkan teknologi baharu seperti Autonomous Vehicle Technician.

“Sehubungan itu, tumpuan TalentCorp adalah untuk memastikan tenaga kerja Malaysia bersedia mengisi peranan baharu ini dengan kemahiran yang relevan dan keupayaan menyesuaikan diri dalam pekerjaan yang dipacu teknologi,” katanya.

Antara cabaran utama yang dihadapi ialah ketidaksepadanan antara kemahiran tenaga kerja dengan keperluan industri yang berubah dengan pantas.

“AI mempercepat perubahan skop kerja, sedangkan tahap literasi digital, kemahiran data dan kefahaman AI kalangan pekerja masih perlu diperkukuh selain wujudnya jurang ketara pada kadar adaptasi teknologi antara syarikat besar dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” katanya.

Beliau berkata pasaran kerja perlu beralih daripada pendekatan berasaskan kelayakan kepada pendekatan berasaskan kemahiran bagi memastikan pekerja pertengahan kerjaya, graduan baharu dan kumpulan berisiko tinggi dapat dipadankan dengan peluang berdasarkan keupayaan sebenar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Institut Inovasi Data dan Kecerdasan Buatan (IDEA-AI), Prof Dr Mohd Saberi Mohamad berkata gangguan AI akan berlaku terutamanya pada peringkat tugas, dengan kebanyakan pekerjaan berkembang menjadi peranan "dibantu AI" apabila pekerja bekerjasama dengan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan bukannya digantikan.

Beliau berkata meskipun peralihan ke arah ekonomi disepadu AI semakin pantas, tenaga kerja Malaysia dilihat menunjukkan tahap kesediaan yang sederhana tetapi tidak sekata merentasi sektor.

Katanya, walaupun kesedaran tentang AI kian meningkat, didorong oleh inisiatif kebangsaan dan pendedahan media, masih terdapat jurang dalam keupayaan praktikal dan langsung dalam suasana perniagaan dunia sebenar.

"Untuk kekal berdaya saing, sistem perlu berkembang dengan mengintegrasikan AI, data, automasi dan kecekapan digital yang lebih luas merentasi semua program," katanya.

Mohd Saberi berkata keupayaan Malaysia untuk meraih manfaat daripada penciptaan pekerjaan yang dipacu AI bergantung pada keberkesanan usaha peningkatan kemahiran dan latihan semula, terutamanya yang tertumpu kepada kemahiran manusia seperti pemikiran kritis, kreativiti dan kepimpinan.

Beliau juga berkata sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia kekal sebagai laluan utama dalam membangunkan tenaga kerja yang sedia bekerja memandangkan penekanannya terhadap latihan praktikal.

Bagaimanapun, katanya, kurikulum TVET perlu lebih dinamik dan kerap dikemas kini untuk bergerak seiring dengan  perubahan teknologi yang pesat manakala pengajar mesti meningkatkan kemahirannya secara berterusan dalam pengetahuan dan peralatan AI.

"Selain latihan teknikal, terdapat juga keperluan untuk menggabungkan kemahiran bernilai lebih tinggi seperti penyelesaian masalah, penyepaduan AI dan sokongan keputusan bagi mempersiapkan graduan untuk menggalas peranan pekerjaan yang sentiasa berubah-ubah," katanya.

Beliau berkata TVET tidak memerlukan rombakan sepenuhnya, tetapi sebaliknya pembaharuan yang bersasar, termasuk kerjasama kukuh dengan industri dan kurikulum yang yang sentiasa dikemas kini.

Mohd Saberi turut menekankan jurang dalam ekosistem kemahiran negara, dengan menyatakan ketiadaan rangka kerja AI khusus, termasuk Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) Kecerdasan Buatan kendiri di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Selain itu, katanya, tidak ada badan pengetahuan AI kendiri di bawah Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), walaupun satu telah dibangunkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan