KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Reruai MyFutureJobs antara yang menjadi tumpuan pengunjung Karnival Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Unifi Arena di sini apabila menawarkan bimbingan kerjaya secara langsung dan khidmat semakan resume percuma.
Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Farah Mohd Khairudzaman berkata inisiatif itu bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja tempatan khususnya bagi membantu golongan terkesan akibat pemberhentian kerja dan graduan baharu meningkatkan kebolehpasaran mereka.
"Kami menyediakan sesi semakan resume bagi mengenal pasti kekurangan yang menyebabkan pemohon sering gagal mendapat maklum balas daripada majikan.
"Kita bantu mereka memasukkan 'kata kunci' atau kemahiran tepat bagi menarik perhatian bakal majikan," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata bimbingan kerjaya pula bertujuan menangani kebimbangan pencari kerja terhadap isu ketidakpadanan bidang pengajian berikutan ramai calon yang ragu-ragu untuk memohon jawatan sekiranya latar belakang pendidikan mereka tidak selari dengan skop tugas pekerjaan ditawarkan.
Selain khidmat nasihat, Farah berkata pengunjung didedahkan dengan ciri MyFutureJobs Galaxy di portalnya yang membolehkan pencari kerja mengenal pasti kemahiran khusus diperlukan industri bagi sesuatu jawatan.
"Jika mereka tiada kemahiran tersebut, mereka perlu tingkatkan supaya kekal kompetitif di pasaran buruh," katanya sambil menyifatkan sambutan yang diterima amat menggalakkan.
Mengulas mengenai trend semasa, beliau berkata sektor pentadbiran, borong dan pembuatan ialah antara industri paling aktif menawarkan peluang pekerjaan di Malaysia ketika ini.
Berdasarkan statistik Job Market Snapshot yang dikongsi Farah, sehingga Februari lepas, terdapat kira-kira 90,000 kekosongan jawatan ditawarkan oleh 24,000 syarikat dengan akauntan antara yang mendapat permintaan tinggi.
Beliau berkata MyFutureJobs ialah portal pekerjaan kebangsaan yang dipercayai di bawah Kementerian Sumber Manusia khusus untuk rakyat Malaysia.
"Majikan yang berdaftar di sini adalah sah dan bebas daripada unsur penipuan… malah, portal ini turut menyediakan peluang bagi penempatan latihan industri," katanya.
Bagi Nor Irmazatul Irwan Soriman, 34, yang mendapat bimbingan kerjaya di reruai MyFutureJobs, panduan yang diberikan berjaya melenyapkan kegusarannya mengenai risiko bertukar bidang kerja.
"Pada mulanya, saya keliru dan takut jika tukar bidang saya perlu bermula dari bawah seperti graduan baharu dengan tangga gaji permulaan.
“Selepas hadir di reruai ini, barulah saya mendapat penjelasan bahawa sebenarnya boleh sahaja untuk bertukar bidang kerana skop kerja saya masih ada kaitan dengan bidang yang saya ingin ceburi,” katanya yang ingin menceburi bidang Sumber Manusia.
Nor Irmazatul turut berkongsi kepentingan mengemas kini resume mengikut format standard terkini bagi memastikan pemohon tidak tercicir dalam proses saringan awal.
“Sebelum ini, saya hairan mengapa permohonan saya kepada syarikat besar sering tidak mendapat panggilan temu duga, dan tadi saya diberitahu resume saya sudah lapuk serta tidak mengikut format standard terkini,” katanya.
Karnival Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung hari ini hingga Ahad melibatkan lebih 50 pempamer daripada pelbagai kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan industri yang menyediakan perkhidmatan terus kepada rakyat di satu lokasi bersepadu, termasuk tawaran jawatan kosong serta sesi temu duga terus bersama majikan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial