Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sektor Pembuatan Peluru Tempatan Teroka Biojisim Kelapa Sawit Sebagai Propelan

23/04/2026 01:47 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Sektor pembuatan peluru di Malaysia secara proaktif sedang memperkukuh daya tahan dan meneroka alternatif tempatan lebih lestari bagi memastikan keperluan pertahanan negara kekal terjamin meskipun berdepan cabaran rantaian bekalan global.

Usaha berkenaan diterajui syarikat pengeluar peluru tempatan, Ketech Asia Sdn Bhd, yang menjalin usaha sama dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk membangunkan bahan propelan atau bahan bakar peluru berasaskan biojisim kelapa sawit.

Bercakap kepada Bernama dalam temu bual ekslusif di luar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, Pengarah Projek Ketech Asia Rahayu Bahaudin berkata inisiatif jangka panjang itu bermatlamat melindungi negara daripada kejutan geopolitik serta lonjakan harga bahan mentah, khususnya kekurangan berterusan propelan konvensional di peringkat global.

Ad Banner

Beliau berkata industri propelan global pada masa ini sangat bergantung kepada kapas, yang menghasilkan kandungan tinggi hingga 80 peratus bagi formulasi propelan.

Meskipun biojisim kelapa sawit mungkin menghasilkan kepekatan yang lebih rendah berbanding kapas, beliau berkata lebihan besar sisa pertanian ini di Malaysia menjadikannya alternatif yang sangat berdaya maju serta lestari.

"Terdapat lebihan biojisim kelapa sawit di Malaysia. Daripada membuang sabut dan sisa, kita sebenarnya boleh menukarkannya dan menggunakannya semula kerana ia menyokong persekitaran hijau melalui kitar semula bahan buangan.

Ad Banner

“Selain itu, ia membantu kita menjadi lebih berdikari. Tujuannya adalah untuk kita menghasilkan sendiri propelan supaya dapat mengurangkan kos serta tidak lagi bergantung kepada import asing,” katanya.

Rahayu berkata pihaknya telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan UPNM serta beberapa peringkat ujian makmal oleh penyelidik universiti itu telah berjaya dilaksanakan.

Beliau berkata Ketech Asia sedang menyediakan bantuan teknikal bagi membantu memperluas penyelidikan itu dari peringkat makmal hingga keupayaan pembuatan sebenar.

“Mereka (pihak UPNM) menjalankan ujian tembakan langsung di kilang kami, dan kami telah membawa mereka berjumpa dengan pengeluar mesin kami bagi menilai kebolehlaksanaan pengeluaran secara besar-besaran,” katanya.

Rahayu berkata permintaan global yang tinggi terhadap bahan mentah pertahanan telah menyebabkan harga propelan import melonjak tiga hingga empat kali ganda.

Ketech Asia mengendalikan kemudahan pembuatan peluru berautomasi tinggi di Kuala Lipis, Pahang, yang kini menghasilkan hingga 130 juta peluru berkaliber 9 milimeter (mm) and 5.56mm setahun untuk pasaran domestik. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan