SUKAN > BERITA

Umar Al-Matin Tekad Kekalkan Rekod Tanpa Kalah Di TFight All Star

23/04/2026 07:05 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Atlet muay thai profesional negara Umar Usman Abu Bakar bertekad untuk melebarkan rekod kemenangan bersihnya apabila beraksi dalam kejohanan Muay Thai TFight All Star di Stadium Titiwangsa di sini, malam esok.

Petarung berusia 25 tahun yang lebih dikenali sebagai Umar Al-Matin itu dijangka berdepan cabaran sengit daripada lawan berpengalaman dari Thailand, Daraeak, yang memiliki lebih banyak rekod pertarungan termasuk beberapa gelaran di negara asalnya.

Beliau yang mencatatkan 10 kemenangan tanpa kalah setakat ini berkata reputasi lawannya itu tidak sedikit pun menggugat keyakinannya, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk menampilkan prestasi terbaik.

“Ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk melebarkan rekod kemenangan. Insya-Allah saya akan cuba yang terbaik untuk mengekalkan rekod bersih tersebut.

“Saya tidak pernah memandang rendah mana-mana lawan, sama ada baharu atau berpengalaman. Setiap pertarungan perlu dihadapi dengan penuh fokus dan berhati-hati,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Umar Al-Matin optimis dengan tahap persiapan yang telah dilakukan, khususnya dari aspek kecergasan dan strategi, yang diyakini mampu menjadi kelebihan utama dalam pertarungan berkenaan.

Beliau berkata disiplin sepanjang perlawanan serta keupayaan merebut peluang akan menjadi kunci kejayaan, selain tidak menolak kemungkinan memburu kemenangan secara knockout (KO) ke atas lawannya itu.

 Kejohanan TFight All Star turut menampilkan beberapa lagi petarung tempatan seperti Mohd Rafi Abdul Manaf (Mat Ropi) dan Hasril Nazmi (Nazmie Dancing Boy).

Dalam perkembangan sama, pegawai pemasaran TFight Malaysia, Mohd Khairul Hafiz Hassan berkata sambutan terhadap kejohanan itu amat menggalakkan dengan kapasiti Stadium Titiwangsa yang mampu menampung kira-kira 1,300 penonton dijangka dipenuhi.

Beliau berkata semua meja telah habis dijual manakala hanya kira-kira 300 tiket pembelian secara terus di kaunter masih berbaki untuk dijual hari ini dan esok.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan