Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pengusaha Harum Manis Padang Terap Nikmati Hasil Enam Kali Ganda Musim Ini

21/04/2026 12:33 PM

KUALA NERANG, 21 April (Bernama) -- Penglibatan seorang pengusaha harum manis di daerah Padang Terap di sini sejak lapan tahun lepas, membuahkan hasil apabila menikmati hasil tertinggi musim ini.

Zulkipli Hashim, 67, yang mengusahakan 300 pokok harum manis di Kampung Padang Nyior di sini berkata cuaca panas yang melanda negeri ini sejak beberapa bulan lalu membantu menghasilkan buah yang lebih banyak dan berkualiti tinggi.

“Selalunya purata hasil adalah satu tan semusim, namun kali ini sejak tuaian pertama pada 2 April lalu, lebih satu tan buah telah dipetik untuk dipasarkan.

Ad Banner

“Saya menjangkakan hampir 30,000 buah yang dihasilkan musim ini mampu mencecah lebih enam tan,” katanya ketika ditemui Bernama di ladangnya baru-baru ini.

Beliau berkata selain faktor cuaca, kesuburan tanah turut memainkan peranan penting dalam menghasilkan buah yang banyak dan berkualiti.

Bercerita tentang pembabitannya dalam tanaman tersebut, Zulkipli berkata beliau mendapatkan benih dari Perlis yang sinonim dengan pengeluaran harum manis.

Ad Banner

Katanya, beliau turut mendapatkan tunjuk ajar daripada pelbagai pihak bagi memastikan tanaman itu berjaya selepas ubi keledek, limau langkat dan getah yang diusahakan di ladang sama sebelum ini tidak berhasil.

“Saya dapati keadaan cuaca di Padang Terap tidak jauh berbeza dengan Perlis, sekali gus membantu pertumbuhan tanaman harum manis ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata harum manis itu dijual pada harga antara RM20 hingga RM25 sekilogram selain ditawarkan melalui penghantaran kurier kepada pelanggan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan