Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Anwar Dijadual Rasmi Terminal Baharu LTSIP Esok

17/04/2026 06:09 PM

KOTA BHARU, 17 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini pada 10 pagi esok.

Terminal baharu LTSIP itu menjadi mercu tanda baharu landskap pengangkutan Kelantan, sekali gus menjadi pemangkin strategik ke arah memperkukuh kesalinghubungan udara serta merancakkan mobiliti dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Yang dijadualkan hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Ad Banner

Terminal baharu itu dilengkapi lebih 20 kaunter penerbangan, kemudahan parkir bertingkat, laluan khas pemandu teksi, balai bomba dan penyelamat terminal, pertambahan ruang parkir pesawat serta sistem operasi tanpa tunai bagi meningkatkan kecekapan dan keselesaan penumpang.

Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP itu melibatkan kos RM440 juta dan dijangka mampu menampung hingga empat juta penumpang setahun, meningkat berbanding kapasiti 1.5 juta sebelum ini.

Selain peningkatan kapasiti, keluasan terminal turut diperluas daripada 12,000 meter persegi kepada 36,000 meter persegi dengan susun atur baharu yang memisahkan balai berlepas di tingkat atas dan ruang ketibaan di tingkat bawah bagi mengurangkan kesesakan.

Ad Banner

Jumlah parkir pesawat (apron) juga ditambah kepada 11 berbanding lima unit sebelum ini, manakala ruang letak kenderaan menyediakan kira-kira 1,300 lot berbanding hanya 350 lot sebelum proses naik taraf dilaksanakan.

Kemudahan itu dijangka memudahkan urusan penghantaran dan pengambilan penumpang, khususnya ketika musim puncak seperti perayaan Aidilfitri.

Selain merasmikan terminal berkenaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual menghadiri Mesyuarat Pembangunan Daerah Pasir Puteh pada tengah hari, diikuti sesi ramah mesra dan lawatan ke Masjid Gong Chapa, Pasir Puteh.

Perdana Menteri juga dijadual menghadiri Mini Konvensyen Keadilan Kelantan di sebuah hotel di Kota Bharu pada sebelah petang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan