Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

TikTok Sumbang RM20 Bilion Kepada Ekonomi Digital Malaysia, Sokong 147,000 Pekerjaan 

11/03/2026 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- TikTok menyumbang kira-kira RM20 bilion dalam nilai tambah kasar (GVA) kepada ekonomi digital Malaysia pada 2025 serta menyokong kira-kira 147,000 pekerjaan di seluruh negara, menurut Malaysia Socioeconomic Impact Report 2025. 

Laporan dihasilkan bersama firma perunding global Kearney itu, menganggarkan sumbangan berkenaan merangkumi kira-kira empat peratus daripada ekonomi digital Malaysia dan hampir satu peratus daripada anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal negara.

Menteri Ekonomi Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata platform digital membuka peluang lebih luas kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pencipta kandungan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Platform seperti TikTok memperlihatkan penyertaan digital boleh diterjemahkan kepada nilai ekonomi sebenar dengan memperluas peluang untuk PMKS, memperkasakan pencipta kandungan serta membuka laluan baharu kepada penjanaan pendapatan dan keusahawanan,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran laporan itu, di sini malam tadi.

Beliau berkata perkembangan itu turut menyokong aspirasi kerajaan di bawah Malaysia MADANI serta hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), yang menekankan pertumbuhan inklusif dan mampan dalam ekonomi digital.

Sementara itu, rakan kongsi Kearney, Gareth Pereira berkata  kajian berkenaan menunjukkan ekosistem TikTok telah berkembang lebih daripada sekadar hiburan untuk menjadi pemangkin ekonomi yang menyokong inovasi dan keusahawanan.

Munsur Ramli (@myhomefresh), seorang usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) di TikTok Shop berkata: “Perniagaan saya merosot sejak saya jatuh sakit pada 2022. Namun, apabila beralih kepada TikTok Shop ia membantu mengubah keadaan dan memperbaiki kewangan keluarga saya. Daripada tiada jualan pada peringkat awal, kini saya mampu menjana RM1,000 sehari.”

Sandra Hanayu (@sandrahanayu), seorang pencipta kandungan TikTok pula berkata: “Saya beralih daripada industri penerbangan untuk menjadi pencipta kandungan sepenuh masa apabila menyedari pendapatan daripada TikTok meningkat tiga kali ganda berbanding pendapatan dalam industri penerbangan. Perubahan ini membolehkan saya menyara ibu bapa dan membiayai rawatan adik lelaki saya yang menghidap autisme.”

Laporan itu juga mendapati TikTok Shop menempatkan lebih 1.8 juta perniagaan tempatan di Malaysia dan telah melatih lebih 100,000 PMKS tempatan dengan kerjasama rakan agensi kerajaan.

Tinjauan yang dilakukan ke atas kira-kira 97 peratus perniagaan, mendapati TikTok sebagai sumber pendapatan penting, manakala ramai memperoleh kemahiran baharu dalam pemasaran digital, penciptaan kandungan serta jualan secara langsung (LIVE) melalui platform ini. 

Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia Firdaus Fadzil berkata platform berkenaan kekal komited membantu pencipta kandungan dan perniagaan Malaysia seiring pengembangan ekonomi digital negara.

Laporan itu turut mendapati hampir 35 peratus pencipta kandungan memilih terlibat sepenuh masa, manakala kira-kira 45 peratus memperoleh pendapatan melebihi gaji minimum Malaysia, selain 4.5 juta pencipta kandungan menjana pendapatan melalui TikTok LIVE (Oktober 2024-2025).

Untuk maklumat lanjut atau mengakses TikTok Socioeconomic Impact Report 2025, sila layari https://newsroom.tiktok.com/beyond-the-scroll-tiktoks-malaysia-socioeconomic-impact-report-reveals-rm20-billion-boost-to-the-digital-economy?lang=en-MY.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan