Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pengurus, Penolong Pengurus NADI Terima Insentif Khas Aidilfitri RM1,000 - Fahmi

07/03/2026 01:28 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Kerajaan bersetuju untuk memberikan insentif khas Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada 2,196 Pengurus dan Penolong Pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sumbangan julung kali berbentuk sekali beri itu sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada golongan berkenaan.

“Sebelum ini mereka tidak pernah menerima apa-apa sempena Aidilfitri ataupun apa-apa festival. Jadi saya berasa terpanggil untuk memastikan mereka ini yang bekerja enam hari seminggu ini diberikan penghargaan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Mereka ini kadang-kadang menjadi pengasuh kepada anak-anak (di komuniti NADI), merekalah juga yang menjadi cikgu (rujukan untuk usahawan), selain menjalankan kerja-kerja khidmat untuk komuniti di premis NADI,” katanya.

Fahmi mengumumkan perkara itu pada sidang media selepas merasmikan Bazar Raya NADI di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Fahmi berkata kesemua 1,098 NADI di seluruh negara akan menganjurkan Bazar Raya secara serentak pada 14 Mac ini, sebagai antara usaha untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri di peringkat komuniti.

Beliau berkata penganjuran Bazar Raya itu nanti akan turut melibatkan sesi jualan oleh beberapa agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang. 

“Inisiatif ini juga membuka peluang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk masing-masing dan merancakkan ekonomi komuniti menjelang Aidilfitri,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan