KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Malaysia menyokong usaha Indonesia yang melarang akses kepada platform digital berisiko tinggi bagi kanak-kanak bawah umur 16 tahun bermula 28 Mac ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata tindakan itu sejajar dengan perbincangan berterusan antara Malaysia dan Indonesia bagi memastikan penggunaan internet lebih selamat untuk rakyat kedua-dua negara, khususnya golongan kanak-kanak.
“Saya amat mengalu-alukan inisiatif rakan sejawat saya di Indonesia, Meutya Hafid. Kami telah lama berbincang mengenai usaha bersama memastikan internet selamat untuk rakyat negara masing-masing, terutama kalangan kanak-kanak.
“Saya merasakan ini langkah tepat oleh kerajaan Indonesia. Malaysia juga bersedia berkongsi pengalaman, teknik, dan aspek kawalan selera yang boleh dimanfaatkan oleh Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar dan Sumbangan Aidilfitri bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB) di sini, malam ini.
Menurut laporan dari Jakarta, Meutya memaklumkan bahawa bermula tarikh pelaksanaan itu, akaun media sosial milik kanak-kanak bawah 16 tahun di platform berisiko tinggi termasuk YouTube, TikTok, Facebook, Instagram, Threads, X, Bigo Live, dan Roblox akan dinyahaktifkan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata kerjasama berkaitan keselamatan digital di rantau ini telah diperkukuh sejak tahun lepas menerusi kesepakatan negara anggota ASEAN.
Beliau berkata melalui Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di sini pada Oktober tahun lepas, menteri-menteri komunikasi telah menerima pakai Deklarasi Kuala Lumpur bagi mewujudkan media sosial yang lebih selamat.
“Menteri-menteri komunikasi di seluruh Asia Tenggara bersetuju untuk menilai dan melaksanakan langkah-langkah menjamin keselamatan pengguna. Tidak semua negara mempunyai hasrat yang sama, tetapi ini permulaan baik untuk memperkukuh keselamatan digital,” katanya.
Dalam program sama, Fahmi berkata TNB telah menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Madrasah Tarbiah Islamiah, Apartment Putra Ria, di sini, serta bantuan persiapan Aidilfitri bernilai RM150 kepada 100 penerima.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata pihaknya turut menyediakan perkhidmatan ambulans pada kadar RM1 untuk penduduk kawasan itu melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Saya bekerjasama dengan sebuah NGO, Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia, untuk menyediakan 10 buah ambulans khusus untuk warga Lembah Pantai pada harga RM1 sahaja. Tempahan boleh dibuat melalui AJK Surau, AJK Masjid, atau majlis perwakilan penduduk,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial