Ad Banner
 AM > BERITA

JENDELA: Kadar Liputan Internet Di Kawasan Berpenduduk Sarawak Capai 98.41 Peratus

03/03/2026 06:04 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Kadar liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di Sarawak telah mencapai 98.41 peratus setakat 1 Mac 2026 berbanding 73.67 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata sebanyak 910 menara baharu telah siap dibina dan beroperasi di negeri itu dalam usaha memperkukuh infrastruktur digital negara bagi memastikan akses lebih meluas dan inklusif dapat dinikmati oleh seluruh rakyat melalui JENDELA.

“Sebanyak 4,776 stesen pemancar telah dinaik taraf, 212,542 premis tersedia dengan gentian optik dan  523 lokasi telah dapat menikmati perkhidmatan internet menggunakan teknologi satelit, Broadband Wireless Access (BWA),” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Negara, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperluas liputan dan meningkatkan kesalinghubungan melalui projek JENDELA Fasa 1 dan Fasa 2 serta inisiatif berimpak tinggi yang merangkumi lebuh raya, universiti awam, hospital, kawasan acara, kawasan pelancongan, stadium dan penempatan ketenteraan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih. 

Mengenai isu kemerosotan kelajuan dan kualiti perkhidmatan internet di Sarawak semasa musim perayaan dan penganjuran acara berskala besar, Teo berkata semua penyedia perkhidmatan rangkaian komunikasi dikehendaki menjalankan perancangan kapasiti awal berdasarkan unjuran peningkatan trafik, khususnya di lokasi tumpuan seperti lebuh raya utama, lapangan terbang, terminal pengangkutan, pusat bandar, kawasan pelancongan dan pusat beli-belah.

“Selain itu, kesiapsiagaan khas turut dilaksanakan semasa musim puncak dan penganjuran acara besar.

“Semua pemberi perkhidmatan rangkaian diarahkan untuk menyediakan penambahan kapasiti sementara rangkaian, menempatkan pasukan teknikal dalam keadaan bersiap siaga sepanjang tempoh berkenaan, serta melaksanakan pemantauan masa nyata melalui Pusat Operasi Rangkaian (NOC) bagi memastikan sebarang gangguan dapat ditangani dengan segera,” katanya.

Selain itu, Teo berkata pengukuhan liputan dan kapasiti rangkaian di kawasan tumpuan pelancongan turut diberi perhatian terutamanya di lokasi acara berskala besar dan kawasan pelancongan sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Langkah ini melibatkan penyediaan ‘Cell on Wheels’ atau struktur komunikasi mudah alih, pemasangan stesen pangkalan sementara, penambahan sektor antena, pengoptimuman parameter rangkaian serta peningkatan kapasiti iaitu backhaul gentian optik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Teo berkata MCMC telah mengemukakan sebanyak 13,129 permohonan penurunan kandungan yang mempunyai unsur ucapan kebencian berkaitan kaum, agama dan Institusi Diraja (3R) kepada penyediakan perkhidmatan rangkaian sejak 1 Jan, 2022 dan sebanyak 8,174 kandungan iaitu 62 peratus daripada jumlah itu telah diturunkan setakat Ahad lepas.

“Kerajaan memandang serius penyebaran kandungan berunsur fitnah, hasutan dan ucapan kebencian di platform media sosial kerana ia berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat, keselamatan awam dan kestabilan negara.

“Sehubungan itu, platform media sosial yang beroperasi di Malaysia diwajibkan mematuhi undang-undang tempatan dan bertanggungjawab menurunkan kandungan berunsur fitnah serta ucapan kebencian apabila diarahkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Berhubung isu jenayah penipuan atau scam, MCMC telah mengemukakan 197,120 permohonan penurunan kandungan penipuan kepada penyedia perkhidmatan, dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 187,503 iaitu 95 peratus kandungan telah diturunkan pada tempoh sama.

Beliau berkata MCMC dengan kerjasama penyedia perkhidmatan juga berjaya menamatkan perkhidmatan 188,347 talian termasuk talian mudah alih dan tetap yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) meragukan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan