KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Cadangan supaya kerajaan menyediakan bangunan kekal untuk menempatkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang telah beroperasi melebihi 10 tahun perlu dilihat dalam kerangka perancangan pembangunan nasional secara menyeluruh, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata penyediaan infrastruktur TVET tidak bergantung kepada tempoh operasi semata-mata, sebaliknya mengambil kira unjuran enrolmen, kesesuaian lokasi, keperluan fasiliti serta keutamaan pembangunan negeri dan Persekutuan, selaras dengan perancangan fizikal dan kewangan negara.
"Malah, penyediaan kemudahan asrama kepada pelajar tertakluk kepada kesesuaian program, bilangan pelatih serta model pelaksanaan latihan yang diguna pakai.
"Pendekatan latihan berasaskan industri, perantisan dan pembelajaran berasaskan kerja membolehkan pelatih mengikuti latihan secara lebih fleksibel tanpa kebergantungan sepenuhnya kepada kemudahan asrama tetap," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian beliau di Dewan Negara hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara menjawab cadangan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian dan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman agar pusat TVET di luar bandar yang beroperasi lebih 10 tahun dapat ditempatkan di bangunan-bangunan kekal di samping menyediakan kemudahan asrama.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 203 projek pembangunan jalan di pedalaman Sabah dan Sarawak dengan kos keseluruhan RM19.39 bilion telah diluluskan untuk tahun ini.
Katanya bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk kampung, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kini beralih kepada penggunaan lampu solar secara berfasa dengan Selangor mencatatkan pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) tertinggi setakat ini, iaitu sebanyak 25,613 unit.
"Di bawah Program LJK KKDW, lampu dipasang oleh Pihak Berkuasa Elektrik Negeri (PBEN), iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) di tiang elektrik sedia ada milik TNB dengan pemasangan dan penyelenggaraan dilaksanakan oleh TNB namun kos tersebut ditanggung melalui peruntukan tahunan KKDW," katanya.
Ahmad Zahid turut memberikan jaminan mengenai nasib generasi kedua Felda, dengan kerajaan sedang melaksanakan semakan menyeluruh terhadap Akta Tanah (Kawasan Penempatan Kelompok) 1960 [Akta 530] bagi membolehkan pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu tapak tanah rancangan asal.
“Jabatan Perdana Menteri bersama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sedang melaksanakan semakan menyeluruh terhadap Akta 530 bagi tujuan penambahbaikan dan pengukuhan peruntukan sedia ada," katanya sebagai respons kepada permohonan Senator Dr Jufitri Joha agar kerajaan menyelesaikan masalah pembinaan rumah generasi kedua.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata kerajaan komited memperkukuh tadbir urus bencana melalui Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 yang menyasarkan peningkatan strategi pengurusan risiko di peringkat negeri dan daerah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial