Ad Banner
 AM > BERITA

Hina Islam: Dakwaan Kerajaan Tidak Ambil Tindakan Hanya Persepsi - Belia

01/03/2026 04:15 PM

KUANTAN, 1 Mac (Bernama) -- Dakwaan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap isu menghina agama Islam bersifat persepsi semata-mata sedangkan tindakan sewajarnya telah dan sedang dilaksanakan pihak berkuasa, kata Presiden Majlis Belia Pahang Saharuddin Ahmad.

Beliau berkata setiap kes yang menyentuh sensitiviti agama perlu melalui prosedur dan garis panduan tertentu, justeru proses siasatan tidak boleh dibuat secara terburu-buru demi memastikan perkara itu dilaksanakan secara telus, adil dan menyeluruh.

Saharuddin berkata Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menitahkan supaya sebarang perbuatan menghina Islam dan mencabar kesuciannya tidak boleh dipandang ringan serta hendaklah dikenakan tindakan setimpal mengikut peruntukan undang-undang negara.

Ad Banner
Ad Banner

“Sultan Pahang sendiri sudah titah perkara terbabit, mustahil pihak terlibat tidak berbuat apa-apa (jalankan siasatan). Saya lihat perkara ini lebih kepada persepsi orang ramai di media sosial,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa menjaga batas dalam mengeluarkan pendapat, bagi memastikan keharmonian dan perpaduan yang dikecapi selama ini terus terpelihara.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Adam Al-Wafiy Muhammad Zailani berpandangan tindakan pihak berkuasa dilihat pantas apabila individu disyaki terlibat telah ditahan, sekali gus menunjukkan proses siasatan telah bermula.  

Beliau berkata langkah itu membuktikan bahawa proses penguatkuasaan berjalan mengikut lunas undang-undang, justeru orang ramai perlu memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh. 

“MPP juga sudah membuat laporan polis tentang isu ini dan sentiasa berhubung dengan pihak polis untuk mengetahui perkembangan kes … kami tidak akan berhenti tanya sampai ada keputusan, ini menunjukkan kami tidak berdiam diri, sebaliknya mengambil langkah melalui saluran yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, Adam Al-Wafiy berharap mahasiswa dan generasi muda mengambil pengajaran daripada insiden itu dan tidak sesekali memandang remeh serta menjadikan gurauan perkara yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Pada 25 Feb lepas, seorang penuntut UMPSA ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memijak al-Quran dan setakat semalam, sebanyak 28 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata reman terhadap lelaki berumur 21 tahun itu yang tamat semalam disambung hingga 3 Mac ini selepas menerima arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya supaya beberapa tindakan lagi diambil untuk melengkapkan siasatan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan