Ad Banner
 AM > BERITA

Gangguan Air Simpang Renggam, Benut Tiada Kaitan Pusat Data - Onn Hafiz

20/02/2026 11:07 PM

JOHOR BAHRU, 20 Feb (Bernama) -- Gangguan bekalan air yang berlaku di Simpang Renggam dan Benut baru-baru ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pembangunan pusat data di negeri ini, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata kenyataan Pemuda Pakatan Harapan Johor yang cuba mengaitkan isu berkenaan dengan pembangunan pusat data adalah tidak benar serta berunsur politik.

Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam itu menjelaskan tiada pusat data terletak di kawasan Simpang Renggam dan Benut, manakala gangguan bekalan air yang berlaku berpunca daripada faktor kemarau berpanjangan serta penyusutan paras sumber air mentah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Dalam kawasan agihan air terawat Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam juga tidak terdapat sebarang pusat data. Pusat data yang paling hampir terletak di kawasan Perindustrian Sedenak dan ia tidak menerima bekalan air daripada LRA Simpang Renggam,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Beliau berkata LRA Simpang Renggam merupakan loji utama yang membekalkan air terawat kepada sebahagian kawasan di daerah Kluang dan Pontian Utara, meliputi Simpang Renggam, Jalan Benut, Jalan Renggam serta keseluruhan kawasan Machap di Kluang, selain Tampok, Benut dan Api-Api di Pontian.

Onn Hafiz berkata pusat data di kawasan Perindustrian Sedenak menerima bekalan air daripada LRA Semangar yang sumber air mentahnya dari Sungai Johor dan bukannya Empangan Machap.

Sehubungan itu, beliau berkata dakwaan yang mengaitkan gangguan bekalan air di Simpang Renggam dan Benut dengan pembangunan pusat data adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengelirukan rakyat.

Beliau berkata Bekalan Air Berjadual (BAB) yang dilaksanakan di Simpang Renggam dan Benut sejak 7 Feb lepas, termasuk penjadualan 48 jam tanpa bekalan air mengikut zon, kini telah ditamatkan sepenuhnya.

“Semua rumah kini mendapat bekalan air seperti biasa susulan perkembangan positif paras air Empangan Machap serta operasi loji rawatan air yang kembali optimum selepas tempoh pemantauan rapi,” katanya.

Katanya sebagai kerajaan yang mentadbir pada hari ini, tanggungjawab mereka adalah memastikan kestabilan, ketelusan maklumat dan tindakan penyelesaian yang konkrit.

“Ini bukan masa untuk bermain politik dan cuba menangguk di air keruh dengan menakut-nakutkan rakyat serta mengeluarkan dakwaan yang tidak berasas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan