Ad Banner
 AM > BERITA

Saringan Kemasukan Ke Sekolah Rintis Bangsa Johor Melalui Temuduga Bersemuka Mulai 2027

20/02/2026 12:48 PM

JOHOR BAHRU, 20 Feb (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan melaksanakan saringan kemasukan ke Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bagi Darjah 1 dan Tingkatan 1 melalui proses temuduga bersemuka bermula 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Johor Aznan Tamin berkata penilaian akan dibuat secara menyeluruh meliputi pencapaian akademik, penglibatan kokurikulum, sahsiah, jati diri serta keaktifan murid.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan murid yang dipilih benar-benar bersedia untuk memanfaatkan ekosistem SRBJ. Hasrat Kerajaan Negeri ialah agar murid SRBJ kelak mampu berdiri setanding dengan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM),” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Aznan berkata ketika ini maklum balas yang diterima daripada pihak luar mengenai pelaksanaan SRBJ sejak Feb tahun lepas positif dan memberangsangkan dengan ramai ibu bapa turut berminat untuk menghantar anak mereka ke sekolah itu.

“Ini kerana mereka menyatakan keyakinan terhadap hala tuju SRBJ, terutamanya selepas pelaksanaan fasa pertama penambahbaikan infrastruktur yang kini lebih moden, selesa dan efisien, setanding dengan sekolah swasta,” katanya. 

Beliau berkata kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan SRBJ sebagai antara 20 sekolah harian terbaik di Malaysia dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Sains, Teknolologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjelang  2031. 

“Bagi SRBJ, perancangan transformasi pendidikan telah disusun secara rapi dengan visi menjadikan Johor sebagai negeri peneraju sistem pendidikan berkualiti selain melahirkan generasi Bangsa Johor yang cemerlang dan berdaya saing menjelang  2031 menerusi pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

Aznan berkata kerajaan negeri juga sedang memperhalusi pelaksanaan Tadika Rintis Bangsa Johor melalui kerjasama strategik bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Yayasan Pelajaran Johor, yang akan berfungsi sebagai sistem pengantara kepada SRBJ sedia ada.

SRBJ yang dilhamkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berpaksikan kepada empat teras utama iaitu penguasaan Bahasa Inggeris tanpa meminggirkan Bahasa Melayu, penguasaan STEM, kebolehpasaran serta sahsiah murid, dan pentaksiran kompetensi murid yang standard bertaraf antarabangsa.

Empat sekolah dipilih sebagai SRBJ bermula sesi persekolahan 2025/2026, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4 di Pasir Gudang serta SMK Tasek Utara dan SK Tasek Utara di Johor Bahru, menerusi kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Johor. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan