KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Pusat membeli-belah dan kawasan perniagaan utama ibu kota meriah dengan kehadiran pengunjung yang membuat persiapan akhir untuk menyambut Tahun Baharu Cina pada Selasa ini.
Tinjauan Bernama mendapati premis perniagaan dihiasi dekorasi perayaan termasuk tanglung merah dengan pelbagai gerai sementara menjual keperluan sambutan seperti limau mandarin, kuih, pakaian dan perhiasan rumah dikunjungi orang ramai.
Pekerja swasta Lim Siew Ling, 32, berkata mengambil berkunjung ke situ untuk melengkapkan semua barangan diperlukan sebelum pulang ke kampung halaman bagi meraikan perayaan itu bersama-sama keluarga.
“Setiap tahun memang begini, ramai membeli-belah saat akhir. Walaupun penat, suasana ini buat saya lebih teruja untuk sambut perayaan dengan keluarga,” katanya ketika ditemui di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
Lim berkata dirinya turut menyediakan hadiah untuk saudara-mara sempena pertemuan tahunan keluarga kerana mereka jarang dapat berkumpul dengan lengkap.
Sementara itu, peniaga hiasan perayaan, Wong Kok Seng, 45, berkata jualan tahun ini meningkat berbanding tahun lepas kerana pelanggan mula membeli sejak awal dan sanggup berbelanja lebih untuk menghias rumah.
Selain dekorasi tradisional, Wong berkata pelanggan kini juga gemar membeli hiasan unik seperti tanglung berlampu LED, replika haiwan zodiak dan set hiasan meja makan berwarna-warni.
“Sekarang (tempoh) paling sibuk terutama pada malam. Ramai pelanggan mencari dekorasi untuk makan besar dan persiapan rumah supaya suasana lebih meriah apabila keluarga berkumpul,” katanya.
Guru Chong Mei Ling, 27, berkata mengambil peluang untuk membeli pelbagai juadah perayaan termasuk kuih bakul dan manisan tradisional sebagai buah tangan sebelum pulang ke Pulau Pinang bagi meraikan Tahun Baharu Cina bersama-sama keluarga.
Chong berkata kesempatan cuti panjang membolehkannya meluangkan masa membeli bahan makanan serta keperluan bagi menyediakan hidangan ringkas untuk dikongsi ketika berkumpul dengan keluarga.
Saya sentiasa teruja menanti perayaan ini kerana suka dengan pelbagai juadah yang disajikan, terutamanya kuih bakul. Selain itu, tidak sabar untuk pulang ke Pulau Pinang kerana kami jarang berpeluang untuk bertemu.
“Seronok dapat membuat persediaan sebelum pulang ke kampung halaman kerana suasana dan hiasan yang sangat meriah menaikkan semangat untuk merayakan Tahun Baharu Cina,” katanya.
Wanita itu berkata suasana membeli-belah menjelang perayaan juga menjadi pengalaman tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan kerana ia turut mencerminkan keharmonian serta kepelbagaian budaya masyarakat di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial