Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

NRES Sasar 200 Zon Rendah Karbon Menjelang 2030

12/02/2026 04:06 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyasarkan untuk mewujudkan 200 Zon Rendah Karbon di seluruh negara menjelang 2030 sebagai langkah strategik serta komitmen bersepadu dalam menangani krisis iklim global.

Menterinya Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata usaha itu langkah proaktif untuk mentransformasikan kawasan bandar sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi hijau dan kesejahteraan rakyat yang berdaya tahan iklim.

"Usaha ini telah bermula sejak pengenalan Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon pada 2011, dan diperkasakan melalui Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Kebangsaan pada 2021. Setakat ini, sebanyak 146 daripada 156 PBT (pihak berkuasa tempatan) telah menerima latihan berkaitan.

Ad Banner

“Sebanyak 70 PBT telah memulakan pelaksanaan penyelesaian rendah karbon di kawasan masing-masing,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2025, di sini hari ini. 

Beliau berkata peranan bandar dalam usaha mitigasi perubahan iklim adalah kritikal memandangkan lebih 70 peratus daripada pelepasan gas rumah kaca (GHG) global tertumpu di kawasan bandar yang menjadi pusat aktiviti ekonomi, mobiliti dan penggunaan tenaga.

Arthur berkata Malaysia telah mengemukakan sasaran pengurangan pelepasan GHG negara yang lebih progresif di bawah Perjanjian Paris melalui Malaysia’s Third Nationally Determined Contributions (NDC 3.0) pada 24 Okt tahun lepas. 

"Melalui NDC 3.0, Malaysia komited untuk mengurangkan pelepasan GHG secara mutlak sebanyak 15 hingga 30 juta tan karbon dioksida setara menjelang 2035. Daripada jumlah itu, pengurangan sebanyak 20 juta tan akan dilaksanakan melalui usaha domestik tanpa syarat.

“Baki 10 juta tan lagi, tertakluk kepada sokongan antarabangsa dari segi pembiayaan dan pemindahan teknologi. Ini isyarat jelas kepada dunia bahawa Malaysia serius memainkan peranan sebagai rakan global yang bertanggungjawab,” katanya. 

Bagi memastikan sasaran itu bukan sekadar retorik, beliau berkata NRES kini berada pada peringkat akhir penggubalan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Perubahan Iklim Negara.

Beliau berkata perundangan berkenaan akan memperkukuh tadbir urus perubahan iklim negara serta memudah cara pelaksanaan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan bagi memacu ekosistem kredit karbon yang telus.

"Berdasarkan data audit oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation, inisiatif bandar rendah karbon sepanjang 2025 telah membuahkan hasil yang membanggakan dengan pengurangan pelepasan sebanyak 324,073.84 tan karbon dioksida setara.

"Jumlah penyerapan karbon pula, mencecah 80,837.06 tan yang secara simboliknya bersamaan dengan penanaman 10.12 juta batang pokok matang atau pengurangan 87,650 kereta setahun di jalan raya,” katanya. 

Mengenai majlis itu, Arthur merakamkan penghargaan kepada PBT Selangor, Johor, Melaka, Pahang dan Kedah atas konsistensi pengurangan GHG serta menggesa penyertaan lebih meluas dari negeri lain, termasuk Sabah dan Sarawak bagi mencapai agenda kelestarian secara menyeluruh menjelang 2030.

 “Ini satu program MGTC untuk memberikan pengiktirafan dan juga anugerah kepada semua pemain industri khususnya PBT yang telah membantu menyumbang kepada usaha kementerian dan negara untuk mengurangkan pelepasan GHG.

“Ini tahun ke-12 dan semakin banyak PBT (serta) pemain industri yang ingin menyertai usaha itu. Kita anggap ia sebagai persaingan sihat antara PBT dan pemain industri,” katanya. 

Dalam majlis itu, sebanyak 164 Pengiktirafan Diamond diberikan kepada PBT dan rakan kongsi atas kecemerlangan mereka dalam mengurangkan pelepasan GHG.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan