Ad Banner
 AM > BERITA

Isu Tadbir Urus Rumah Ibadat Perlu Ditangani Berlandaskan Undang-undang

07/02/2026 12:55 PM

PUTRAJAYA, 7 Feb (Bernama) -- Pengurusan isu berkaitan tadbir urus rumah ibadat di negara ini perlu dilaksanakan berlandaskan kerangka perundangan sedia ada serta prinsip kedaulatan undang-undang, selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan semangat Malaysia MADANI, menurut Kementerian Perpaduan Negara.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian berkenaan memaklumkan urusan berkaitan pembinaan, pengubahsuaian dan pematuhan rumah ibadat adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui peruntukan undang-undang berkaitan.

"Sehubungan itu, ditegaskan bahawa sebarang isu berkaitan rumah ibadat perlu ditangani secara berhemah, berfakta dan berlandaskan undang-undang, tanpa mengheret sentimen perkauman atau keagamaan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Ad Banner

Antara peruntukan utama ialah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengawal selia struktur bangunan, kebersihan serta memastikan tiada pembinaan rumah ibadat dilakukan tanpa kebenaran di kawasan pentadbiran masing-masing.

Selain itu, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) turut diguna pakai bagi mengawal aspek teknikal pembinaan dan keselamatan struktur bangunan rumah ibadat demi menjamin keselamatan awam.

Kementerian Perpaduan Negara juga memaklumkan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dilaksanakan melalui PLANMalaysia bagi tujuan perancangan pengezonan serta penetapan tapak khusus rumah ibadat dalam Rancangan Tempatan.

“Pihak kementerian akan kekal komited dalam memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memperkukuh kefahaman, dialog dan keharmonian antara penganut agama, sambil menghormati bidang kuasa agensi berkaitan serta keputusan pihak berkuasa yang berlandaskan undang-undang.

“Justeru, semua pihak diseru agar menghormati proses perundangan, mengelakkan spekulasi serta mengekalkan semangat saling menghormati demi memelihara perpaduan nasional dan kestabilan negara,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan