Ad Banner
 AM > BERITA

SWM Gerak 4,500 Anggota Urus Sisa Johor, TBC, Ramadan

07/02/2026 12:22 AM

JOHOR BAHRU, 6 Feb (Bernama) — Sebanyak 4,500 anggota pembersihan digerakkan secara menyeluruh oleh SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) bagi memastikan pengurusan sisa pepejal di seluruh 15 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) Johor berjalan lancar sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) dan menjelang awal Ramadan.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata penglibatan anggota yang besar itu mencerminkan komitmen syarikat dalam mengekalkan tahap kebersihan dan kelestarian, khususnya ketika berlaku peningkatan mendadak penjanaan sisa sepanjang musim perayaan.

Beliau berkata operasi berkenaan turut disokong 620 jentera termasuk lori kompaktor, lori open tipper dan lori Roll-on-Roll-Off (RORO) yang digerakkan secara berfokus mengikut keperluan lokaliti.

Ad Banner

“Selain kutipan sisa harian, SWM Environment turut memberi penekanan terhadap pengurusan sisa pukal, sisa kebun serta barangan kitar semula menerusi pelaksanaan perkhidmatan Kutipan +1 bagi menyokong keperluan masyarakat menjelang musim perayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata menerusi inisiatif itu, setiap premis kediaman hanya perlu meletakkan sisa berkenaan di tepi tong sampah beroda atau di rumah sampah berpusat mengikut jadual kutipan yang ditetapkan.

Mohd Norlisamturut  menyeru orang ramai agar memberikan kerjasama penuh dengan memastikan laluan kutipan sisa tidak terhalang, khususnya dengan tidak meletakkan kenderaan di lokasi yang boleh menjejaskan kelancaran operasi.

Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menguruskan sisa bunga api dan mercun secara berhemah serta teratur bagi mengelakkan risiko keselamatan dan pencemaran persekitaran.

— BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan