Ad Banner
 AM > BERITA

Allianz Malaysia Bantu 42 Keluarga Orang Asli Jana Pendapatan

06/02/2026 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) --  Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) melalui cabang tanggungjawab sosial korporatnya, bersama rakan strategik Yayasan Kajian dan Pembangunan Masyarakat (YKPM), mencatat kemajuan memberangsangkan dalam Program Pemerkasaan Lestari Orang Asli menerusi Ekonomi Lestari.

Menurut kenyataan syarikat hari ini, sehingga Januari 2026, inisiatif berkenaan telah memperkasa 42 keluarga Orang Asli untuk menjana pendapatan lebih tinggi, selain mengekalkan pelaburan berterusan dalam pembangunan infrastruktur bagi menyokong kelestarian jangka panjang.

Program yang dilaksanakan sejak 2024 itu bertujuan memperkasa komuniti Orang Asli di Pekan, Pahang, bagi mempelajari, membina, dan menerajui perusahaan sosial lestari melalui agroperhutanan. Ia juga memperkukuh keterjaminan makanan bagi membolehkan mereka melepasi garis kemiskinan.

Ad Banner

Pengembangan strategik fasa baharu, yang bermula pada Ogos 2025, telah meluaskan jangkauannya kepada 70 petani daripada 42 isi rumah, memberi impak positif kepada 1,318 penduduk di enam kampung.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Sean Wang berkata fasa baharu ini memperkukuh asas melalui amalan pertanian kolektif, infrastruktur berpusat, logistik cekap, peluang menjana pendapatan lebih luas, serta inisiatif kepimpinan dan pembangunan komuniti.

“Di Allianz Malaysia, kami percaya pemerkasaan sebenar berlaku apabila komuniti diberi peralatan, keyakinan, dan peluang untuk menerajui kemajuan mereka sendiri.

“Melalui program ini, kami berbangga dapat bersama komuniti Orang Asli dalam membina mata pencarian lestari yang menyokong keluarga serta generasi mereka yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan YKPM Kon Onn Sein berkata pembiayaan kewangan daripada Allianz Malaysia membolehkan yayasan itu memperkukuh sokongan terhadap komuniti Orang Asli agar berdikari dan berkembang menjadi ekonomi berskala lebih luas.

“Pembiayaan ini juga membolehkan kami membina program dan proses yang bersistematik serta lestari, membawa kepada pembasmian kemiskinan dan transformasi sosial komuniti Orang Asli,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan