JELEBU, 6 Feb (Bernama) -- Masjid Dato’ Undang Luak Jelebu yang dibina dengan peruntukan RM8.85 juta kini siap sepenuhnya, sekali gus dapat digunakan oleh kariah setempat untuk beribadah menjelang ketibaan Ramadan tidak lama lagi.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata masjid seluas 1.974 hektar (4.88 ekar) yang mula dibangunkan pada Mac 2022 itu mampu menampung sehingga 1,000 jemaah.
Beliau berkata usaha itu membuktikan keprihatinan berterusan kerajaan pusat terhadap keperluan rakyat dalam memperkukuh pembangunan rohani dan kesejahteraan sosial.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan serta Pejabat Pembangunan Negeri atas komitmen dan kerjasama menjayakan projek pembinaan masjid ini.
“Saya menyeru ahli kariah bersama Jawatankuasa Masjid dengan bimbingan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengurus dan memakmurkan masjid ini dengan ikhlas, berintegriti serta berterusan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Masjid Dato’ Undang Luak Jelebu di sini hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata masjid berkenaan turut dilengkapi pelbagai kemudahan sokongan termasuk dewan keraian, bilik pentadbiran, bilik pengurusan jenazah, sistem audio, kemudahan wuduk yang selesa, menara setinggi 25.2 meter serta kawasan parkir khas orang kurang upaya (OKU).
Aminuddin berkata kemudahan disediakan bukan sekadar untuk dibanggakan dari sudut fizikal semata-mata, sebaliknya perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan penuh amanah demi kepentingan ummah.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM16.05 juta khusus untuk pembangunan dan pengukuhan institusi Islam di negeri ini.
Beliau berkata ia meliputi pembangunan masjid dan surau, pendidikan agama, pengimarahan institusi Islam, kebajikan asnaf serta pengukuhan pentadbiran agama.
“Bagi tahun ini sebanyak RM6.5 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Masjid Negeri dan penyelenggaraan masjid-masjid dalam Negeri Sembilan… begitu juga peruntukan RM5.05 juta bagi insentif elaun bilal, siak dan pembantu wanita bagi tahun ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial