Ad Banner
 AM > BERITA

Pahang Rekod Pengurangan 100 Peratus Penagihan Dadah Di 12 Kawasan Berisiko Tinggi

05/02/2026 10:11 PM

KUANTAN, 5 Feb (Bernama) -- Pahang merekodkan pengurangan 100 peratus penagihan dadah membabitkan 12 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) menerusi pelaksanaan Program Pengurangan Kawasan Berisiko Tinggi, sekali gus menjayakan misi Dadah Terkawal 2025. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata mukim yang telah berjaya diturunkan status kepada Kawasan Berisiko Rendah (KBR) ialah Gali, Batu Talam, Dong dan Sega di Raub; Pekan, Kuala Pahang dan Pahang Tua (Pekan); Perak dan Mentakab (Temerloh), Chenor dan Jengka (Maran) Kuala Kuantan di Kuantan. 

“Sepanjang tempoh lima tahun, Kerajaan Negeri Pahang telah memberikan sokongan berterusan melalui pelaksanaan Pelan Strategik Pahang Teguh Dadah Terkawal 2021-2025, yang diperkukuh melalui Majlis Tindakan Membanteras Dadah peringkat daerah dan negeri,” katanya. 

Ad Banner

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Bintang Antidadah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pahang Tahun 2025, di sini hari ini. 

Wan Rosdy berkata pihaknya turut menyasarkan kadar penagihan dadah tidak melebihi 700 orang bagi setiap 100,000 penduduk dalam tempoh lima tahun akan datang. 

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan terus menyalurkan sokongan kewangan, logistik serta kerjasama strategik bagi memperkasakan inisiatif AADK ke arah merealisasikan misi Dadah Terkawal 2030.

“Menerusi Belanjawan Negeri Pahang tahun ini, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan RM75,000 kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia, RM75,000 lagi kepada Persatuan Pengasih Malaysia dan RM150,000 kepada ‘Drug Intervention Community sebagai usaha pencegahan penyalahgunaan dadah di negeri ini,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan