Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Patuhi Semua Prosedur Rundingan Jajaran Sempadan Sabah, Sarawak – Mustapha

05/02/2026 08:52 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Kerajaan telah mematuhi semua prosedur dalam rundingan berkaitan isu jajaran sempadan Malaysia-Indonesia melibatkan Sabah dan Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata kerajaan telah membuat libat urus bersama semua pihak dan agensi berkaitan, terutamanya dengan Kerajaan Negeri Sabah, dan Sarawak.

“Jadi maknanya, jelas bahawa prosedur telah dipatuhi dan tidaklah seperti yang ditohmahkan oleh pelbagai pihak seolah-olah kita mengkhianati negara ini,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mohammad Abiddin, di sini hari ini.

Ad Banner

Pada majlis itu, Mustapha turut menerima watikah pelantikan sebagai Pesuruhjaya Kehormat APM daripada Mohammad.

Mengenai isu di sempadan Sabah itu, Mustapha berkata beliau turut bersetuju dan menyokong ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kesepakatan dan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia perlu dijaga.

Justeru, beliau menegaskan kepentingan semua pihak untuk tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menegangkan hubungan dengan negara jiran.

Mustapha menyarankan kepada semua pihak supaya sebarang persoalan atau keraguan dibawa ke meja rundingan bersama kementerian dan agensi berkaitan bagi mendapatkan penjelasan yang tepat.

Semalam di Parlimen, Anwar menolak keras dakwaan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan, Sabah–Kalimantan dan menyifatkannya sebagai satu penipuan tidak berasas.

Mengulas mengenai perlantikannya sebagai Pesuruhjaya Kehormat APM, Mustapha berkata beliau amat berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan diberikan untuk membantu mengurus bencana di negara ini.

“Ini tugas yang agak mencabar, tetapi saya akan komited untuk membantu, terutama di Sabah dan Sarawak. Saya juga akan ke Semenanjung bagi meneliti, memantau dan melawat kawasan-kawasan bencana,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan