AM > BERITA

Koperasi Tertua Di Pahang, KPKP Kekal Relevan Selepas Satu Abad Penubuhan

01/02/2026 01:35 PM

KUANTAN, 1 Feb (Bernama) -- Inisiatif sekumpulan penjawat awam negeri menubuhkan koperasi 100 tahun lepas bukan sahaja memberi manfaat kepada anggotanya pada ketika itu, sebaliknya Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur Bhd (KPKP) kekal kukuh dan relevan sehingga kini.

Ditubuhkan di Lipis pada 1 Jan 1926 dengan nama The Pahang Government Servants Co-operative Thrift and Loan Society Limited, koperasi itu bermula sederhana sebelum berkembang menjadi institusi yang menjadi simbol kerjasama, amanah dan bertahan daripada generasi kepada generasi.

Pengerusinya Mohd Azman Ibrahim berkata selepas satu abad penubuhan, KPKP bukan sahaja menjadi koperasi pertama di Pahang malah terus kekal sebagai institusi yang memberi manfaat kepada ribuan penjawat awam negeri Tok Gajah.

Ad Banner
Ad Banner

Menelusuri pelbagai fasa sebelum dan selepas kemerdekaan sehingga ke dunia digital, beliau berkata tatakelola pengurusan yang baik, barisan kepimpinan cekap dan sentiasa menjaga serta memberi keutamaan kepada kebajikan ahli ialah “rahsia” koperasi itu kekal utuh untuk jangka masa panjang. 

“Selepas melalui peredaran zaman koperasi ini masih mampu menempuh pelbagai cabaran termasuk ketika negara berdepan pandemik COVID-19 demi kelangsungan ahli. Kita juga sentiasa menjalankan perniagaan yang berdaya saing dan seterusnya memberi pulangan yang baik kepada ahli,” katanya kepada Bernama. 

Mohd Azman berkata KPKP yang pernah dianggotai oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein, kini merekodkan lebih 7,000 ahli penjawat awam negeri dan menawarkan pelbagai faedah kepada anggota seperti pemberian pinjaman serta bantuan kebajikan. 

Antara faedah lain koperasi tertua di negeri itu ialah bantuan persekolahan dan melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi kepada anak ahli, bencana alam, perkahwinan ahli serta khairat kematian.

“Selain itu, KPKP juga menjalankan aktiviti perniagaan hotel, stesen minyak, ladang kelapa sawit dan ladang kelapa matag serta Perkhidmatan Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu),” katanya. 

Dalam pada itu, melangkah ke abad kedua, beliau berkata peranan dan perpaduan dalam kalangan ahli memainkan peranan penting bagi memastikan koperasi terus relevan sepanjang zaman serta kekal unggul menjadi antara terbaik di Malaysia, khususnya Pahang. 

“Koperasi ini milik kita bersama-sama. Sokongan, penglibatan aktif dan idea baharu daripada ahli ialah kekuatan sebenar koperasi,” katanya. 

Sempena ulang tahun ke-100 penubuhan, beliau berkata pelbagai pengisian dirancang sepanjang 2026 seperti Fun Run dan Sukan Rakyat di Kuala Lipis semalam sebagai simbolik lokasi penubuhan KPKP yang menarik penyertaan lebih 500 peserta manakala sambutan utama dijadualkan pada Jun.   

Menyingkap sejarah penubuhannya, Pengurus Besar KPKP Abdul Rashid Abdul Rahman berkata koperasi itu mula beroperasi di Pejabat Penerangan Kuala Lipis sebelum berpindah ke Transit Quarters di Jalan Kuantan apabila daerah itu menjadi ibu negeri Pahang.

Beliau berkata pada 1960, KPKP membeli sebuah bangunan kedai dua lot tiga tingkat di Jalan Mahkota, di sini dengan nilai RM108,000 menjadikan mereka sebagai koperasi pertama di Pahang mempunyai pejabat sendiri.

“Koperasi ini terus berkembang sehingga membolehkan KPKP memiliki sebuah bangunan kedai empat lot tiga tingkat di Jalan Gambut 2 di sini pada 1994 dengan nilai RM1.4 juta yang digunakan sebagai pejabat urusan KPKP sehingga dikenali sebagai Wisma KPKP kini,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan