AM > BERITA

Sabah Jana RM8.74 Bilion Hasil Pelancongan 2025

31/01/2026 08:39 PM

KOTA KINABALU, 31 Jan (Bernama) -- Sabah mencatatkan 3.8 juta ketibaan pelawat pada 2025 dengan hasil pelancongan mencecah RM8.74 bilion, mengatasi rekod 3.5 juta pelawat pada tahun sebelumnya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Jafry Ariffin berkata pada tahun ini, kerajaan negeri menyasarkan lebih empat juta ketibaan pelawat dengan tumpuan diberikan kepada penyediaan hospitaliti berkualiti tinggi serta pengalaman tempatan yang menampilkan keistimewaan Sabah.

“Dengan tumpuan diberikan kepada pelancongan berkualiti, kami berharap dapat mengalu-alukan lebih ramai pelawat tahun ini dan tahun mendatang, sekali gus menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) serta mempersiapkan Sabah menjelang Tahun Melawat Sabah 2027,”  katanya dalam kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Jafry berkata ketibaan pelawat domestik ke Sabah pada 2025 mencapai hampir 2.3 juta, didorong oleh permintaan perjalanan sempena Aidilfitri, Pilihan Raya Negeri dan cuti persekolahan.

Beliau berkata ketibaan antarabangsa pula mencatatkan 1,498,709 pelawat, iaitu peningkatan dua peratus berbanding sebelum pandemik, walaupun sambungan penerbangan antarabangsa masih belum pulih sepenuhnya.

Pasaran antarabangsa utama yang menunjukkan pertumbuhan ialah China dengan 657,528 ketibaan, diikuti Singapura (38,638), Taiwan (34,342), United Kingdom dan Ireland (34,704), Australia (22,571) dan Jepun (16,980).

Menurut kenyataan itu, setakat Januari tahun ini, Sabah dihubungkan dengan 15 destinasi antarabangsa melalui 157 penerbangan mingguan dan menawarkan 28,966 tempat duduk.

Destinasi berkenaan termasuk Singapura, Brunei (Bandar Seri Begawan), Taiwan (Taipei), China (Hong Kong, Guangzhou, Shenzhen, Shanghai, Beijing, Hangzhou dan Fuzhou), Korea Selatan (Seoul dan Busan); Filipina (Manila), Indonesia (Jakarta) dan Vietnam (Ho Chi Minh City).

Bagi rangkaian domestik pula, Sabah dihubungkan dengan 13 destinasi iaitu Kuala Lumpur, Subang, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu, Labuan, Kuching, Miri, Sibu, Bintulu, Mulu, Limbang dan Lawas.

Menurut kenyataan itu, pelancongan kapal persiaran turut mencatat pertumbuhan dengan 23 kapal membawa masuk 24,634 penumpang, iaitu 19 kapal berlabuh di Pelabuhan Kota Kinabalu manakal empat kapal singgah di Pelabuhan Sandakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan